.

Parti Islam vs Ibu

>> 29 September 2009



1:

DUA pesanan ringkas (SMS) baru saja diterima, bertikah kurang dari dua saat setiap satu.
“Mak sakit tenat” itu SMS pertama yang baru diterima.
“Mesyurat penting. Semua wajib hadir. Perjuangan menuntut pengorbanan” begitu pula SMS yang diterima sejurus kemudiannya, lengkap dengan tempat dan masa mesyuarat diada dan dimulakan.
Antara Mak sakit tenat dengan mesyuarat parti yang didukung dan disokong, mana satu yang lebih penting?
Pertanyaan itu berputar dalam kepalanya. Kebetulan otaknya tak sebesar mana, tidak boleh fikir banyak perkara dalam satu masa. Pantang tertekan, mulalah gundah dan mengelabah, sampai terasa nak muntah.
Mak sakit mungkin boleh tahan sakit jika diberi ubat penahan sakit. Kalau dia ada di sisi pun bukannya boleh berbuat apa-apa, Dia bukan doktor, bomoh pun tidak.
Mesyuarat tak mungkin ditangguh, malah apa yang dimesyuaratkan hari ini tidak akan berulang lagi.
Kedatangan pula direkod.
Prestasi, reputasi serta peluang untuk terus berada pada tahap sekarang atau pun pada takah yang lebih tinggi dalam parti bergantung kepada rekod kehadiran mesyuarat.
“Beri ubat penahan sakit” dia membalas SMS adiknya.
“Dah pun diberi. Tapi sakitnya tak berkurangan, malah bertambah tenat. Mak Nampak letih benar”
“Bawa ke kliniklah”
“Dengan motorsikal mana boleh. Saya SMS ni pun Mak suruh, dia minta Kakak balik kampong, bolehlah bawa Mak ke klinik dengan kereta”
“Kakak ada mesyuarat penting”
“Mak tak penting?”
“Mu tau apa kerja aku penting ke tidak”
“Tak apalah kalau begitu”
“Lepas mesyuarat nanti aku balik”
“Suka hati kakak. Saya SMS ni pun kerana Mak yang suruh, Mak yang desak”
Teman semesyuarat sudah beberapa kali bunyikan hon kereta di laman rumah yang penuh dengan sampah sarap, tidak banyak beza dengan kawasan pembuangan sampah.
Halaman rumah tidak pernah bersih dan tersusun macam rumah orang lain, kononnya tidak ada masa untuk uruskan itu semua, kerja banyak, malam siang ada-ada saja mesyuarat, tidak banyak beza dengan wakil rakyat lakunya.
Hon dibunyikan lagi, tanda peringatan supaya dia cepat bersiap, kena berbedak bergincu ala kadar saja walaupun dia dari jenis suka berjangak, takut lewat sampai ke tempat mesyuarat diadakan, kena tunjuk komitmen dengan hadir awal.
Supaya tidak terus diganggu dengan panggilan dan SMS, telefon genggamnya dioffkan. Baginya kalau asyik berbalas SMS dan jawab panggilan telefon, tentulah boleh menyumbang kepada kemungkinan lambat sampai ke tempat mesyuarat, malah boleh hilang tumpuan dalam menerima dan memberi pandangan sepanjang mesyuarat berjalan.
Kerana terlalu tergesa-gesa, dia terlupa untuk maklumkan kepada suami dan anak-anak tentang SMS adiknya yang memaklumkan tentang Maknya sedang sakit tenat.
Sudah kelazimannya, bila ke mana-mana tidak akan diberitahu pada suami, jauh sekali dari mendapatkan izin.
Lagi pun siapa sangat suaminya untuk dia dapatkan keizinan dan maklumkan ke mana dia akan pergi, apa yang dia buat setiap hari, tak kiralah kalau dia keluar rumah malam atau pun siang.
Kalau suaminya tak beritahu pergi ke mana-mana dia akan membebel, dia akan marah. Bukan apa, takut suaminya pergi jual ‘gelenyar’ dengan janda atau mana-mana anak dara tua, suaminya walaupun tidak kacak, tapi ‘sedap kelih’ juga.
Bukan dia saja macam tu, isteri-isteri orang lain yang sejamaah dengannya pun begitu juga, kerana urusan parti dianggap penting dari segalanya, urusan rumahtangga diletak pada takah nombor dua, tiga atau lebih rendah lagi dari itu.
Kononnya pucuk pimpinan parti kata dan menfatwakan, dalam keadaan apa pun perjuangan kena diutamakan, kena dinombor-satukan kerana parti yang didukung dan disokong adalah parti Islam.
Dia berpegang dengan penuh yakin dengan kata pucuk pimpinan bahawa Islam lebih penting dari segalanya, lebih penting dari suami dan anak cucu, apatah lagi untuk memuliakan saudara mara, rakan taulan suami dan anak-anak yang bertamu ke rumah.
Kalau suami halang, maknanya untuk apa tujuan sekali pun sang suami memanh sah tolak Islam, menentang al-Quran dan Hadis. Kalau tuntut cerai pun tak akan bergegar tiang aras.
Anak-anak yang merungut kerana sering ditinggalkan dan kurang menerima perhatian seorang ibu yang bekerja untuk parti Islam juga adalah kerana anak-anak berada dibawah pengaruh bisikan dan godaan syaitan.
Seringkali anak-anak terpaksa minum air sejuk bagi hilang lapar kerana periuk tidak berisi atau kalau pun ada nasi, lauknya atau sayurnya tidak sempat dimasak dimasak. Acap kali pula nasi dalam periuk sudah basi dan berkulat tanda lama periuk tidak dijamah.
Kalau suami ada di rumah, anak-anak tak akan berlapar kerana kebetulan suami ada kebolehan dan kerajinan menanak dan memasak lauk pauk dan sayur mayur.
Ketika dia ada di rumah dan kononnya tidak ada masa untuk ke dapur, perlu berehat kerana keletihan ekoran dari terlalu banyak kerja parti yang kena dibereskan, suaminya yang masak.
Kerana parti kena dinombor-satukanlah, bila ada panggilan untuk kerja parti, dalam keadaan tidak sihat pun akan digagahkan diri untuk hadir, kalau pintu lambat dibuka pun, dirasakan mahu terjun ikut jendela yang terbuka supaya kerja untuk parti tidak tertangguh walaupun cuma sesuku saat.
Gagal sertai apa-apa aktiviti parti, apatah lagi mesyuarat, akan dianggap suatu kerugian, boleh mengurangkan peluang untuk ke syurga kerana baginya bekerja untuk parti Islam bermakna bekerja untuk Islam, itu yang dipasak-baji dan yang terpasak-terbaji dalam kepalanya.
“Maaf lambat sikit” getusnya kepada setiausaha parti sambil menahan mengah kerana penat mendaki tangga bangunan tempat mesyuarat diadakan di sebuah bilik.
“Yang lain belum sampai lagi juga”
“Kata pukul 10. Sekarang dah pukul 10.15”
“Biasalah janji Melayu. Kalau tepat janji bukan Melayu namanya. Itu janji Jepun”
“Apa yang nak dimesyuaratkan?”
“Nak tentukan gelombang-gelombang untuk berkempen pada pilihanraya kecil”
“Kata parti kita tak bertanding”
“Parti seikatan kita bertanding”
“Tapi parti rakan kita tu tak tolong kita pun pada kawasan kita bertanding. Berasa tak berapa ada anginlah nak tolong”
“Mereka tak ada jentera”
“Ramai pemimpin dari penyokong macam mana nak ada jentera. Patut tak payah tolong”
“Kita kena berpegang kepada semangat setiakawan”
“Kita saja yang setiakawan, mereka tidak” celah teman sejamaah yang datang bersamanya.
“Betul” sokongnya.
“Tapi pucuk pimpinan mahukan kita tolong, kita kena pastikan parti seikatan kita bukan sahaja menang tetapi majoriti kena besar”
Dia berhenti berhujah dan tidak lagi menelurkan apa-apa alas an.
Kalau sudah pucuk pimpinan yang buat keputusan, maknanya mahu tidak mahu walau seberat mana pun terpaksalah dipikul atau dijunjung, kalau yang ringan terpaksalah dibimbit, dijinjing atau dikelek.

2:
Setiausaha parti cepat-cepat merapatkan telefon genggamnya ke telinga bila telefonnya ada getaran tanda ada panggilan masuk.
“Tuan pengerusi minta maaf. Mesyuarat terpaksa ditunda. Ada urusan lain yang lebih penting dia kena hadir. Mesyuarat ditangguh ke tengah malam nanti”
“Tempat?”
“Sama”
“Kenapa baru beritahu?”
“Mana saya tau”
“Habis?”
“Dah tak apa nak buat, kita ke tempat biasalah”
“Nak buat apa?”
“Minum dan borak-borak. Saya belanja”
“Beres. Kalau saya yang kena belanja baru tak beres”

3:
Sang suami yang menerima SMS dari adik ipar kalut ribut membuat panggilan isterinya tetapi gagal. SMS tidak diberi respon. Telefon tidak connet, dioffkan.
“Dapat hubung?” SMS adik iparnya.
“Tak. Call telefon pejabat parti tempat dia mesyuarat pun tak diangkat”
“Habis?”
“Tak apalah, abang dan anak-anak pergi dulu. Nanti dia selesai mesyuarat abang akan pulang ambil dia”
“Bila abang mari boleh abang tolong belikan kain putih dan peralatan untuk kapan orang mati”
“Nak buat apa?”
“Mak dah tak ada, bang”
“Tak ada?”
“Ha ah. Dah tak ada”
“Apa maksud adik ni?”
“Mak dah mati”
“Innaalillahi-wainnaa-ilaihi-rooji-unn!”
“Mak pesan kalau dia habis nyawa, kebumi secepat mungkin. Tak payah tunggu sesiapa. Dia mahu segera bertemu Tuhan”

4:
Minum sudah makan pun sudah, dia pulang ke rumah untuk nanti malam akan datang lagi ke mesyuarat yang ditangguhkan, kena hadir tepat pukul lapan.
Dia agak terperanjat kerana bila sampai ke rumah pintu berkunci, jendela semuanya tertutup, tanda tidak ada sesiapa pun di rumah.
Telefon genggamnya yang dioff tadinya dionkan. Berjujuk senarai panggilan tidak dijawab dan SMS. Dia call suaminya.
“Assallamualaikum!. Awak di mana?”
“Di rumah. Awak dan anak-anak ke mana?. Rumah berkunci”
“Saya di kubur ni”
“Kubur mana?”
“Kubur kampong Mak awak, mertua saya”
“Siapa mati?”
“Mak awak, mertua saya”
“Jangan nak main-main”
“Saya serius. Upacara pengkebumian baru selesai. Talqim sedang dibaca”
“Siapa yang dikebumikan?”
“Mak awak, mertua saya”
“Saya kata jangan nak main-main”
“Pernah ke saya main-main dengan awak. Tak percaya tanyalah adik awak sendiri”
“Hallo!”
“Mu?”
“Hm”
“Siapa mati?”
“Mak”
“Mak mati sungguh?”
“Hah. Dah pun dikebumikan”
“ Mu kebumi tak beritahu aku dulu”
“Nak beritahu macam mana, telefon tak dapat. SMS tak dibalas. Abang telefon pejabat tempat Kakak mesyuarat pun tak ada yang angkat. Mak pesan bila dia habis nafas dia suruh kebumi cepat, tak payah tunggu sesiapa”
“Pukul berapa Mak tak ada?”
“Kira-kira 10 pagi”

5:
Dia tahu Maknya mungkin berkecil hati kerana dia jarang pulang ziarah. Kalau sesekali pulang pun masanya sangat singkat kerana kononnya perlu pulang cepat, banyak mesyuarat yang dia kena hadir.
Kerana itulah agaknya maka Maknya pesan pada adiknya kalau dia mati kena segera kebumikan, tak payah tunggu siapa-siapa.
Baginya siapa-siapa yang dimaksudkan Maknya itu adalah dia kerana selain dari adik lelaki yang sudah agak lanjut usia tetapi belum menamatkan zaman bujang kerana mahu menjaga Maknya, hanya dialah seorang lagi anak kepada ibunya. Tak ada yang lain lagi.

6:
“Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu, bukannya di bawah telapak kaki pemimpin utama parti” bebelan suaminya yang berang bila diajak pulang jumpa ibunya dia sering menolak dengan alasan sibuk dengan urusan parti, terngiang-ngiang di telinganya.
“Awak mungkin tidak terasa apa-apa tentang betapa pentingnya seorang mak kerana Mak awak masih hidup. Saya tahu betapa kosongnya hidup ini setelah kematian ibu saya. Saya tak sempat jumpa ibu saya dan tidak sempat meminta maaf ketika dia menghembuskan nafas terakhirnya kerana sibuk dengan tugas-tugas kemediaan sebagai pengamal media. Rasa kesal masih kekal hingga kini”
“Kalau ada apa-apa adik saya akan panggil. Mak sihat, buat apa nak balik tengok. Kalau masa saya free tak apalah juga”
“Mak awak dah tua, hidup pada usia subsidi. Awak patut beri masa untuknya. Saya takut awak menyesal tak sudah nanti”
Dia menyanggah dengan keras hujah suaminya itu, suami yang banyak mengalah kepadanya yang sanggup ketepikan suami dan anak-anak demi parti, demi peimpin utama parti yang dianggap alim dan keramat.
Kini terbukti apa yang suaminya pernah hujahkan menjadi kenyataan. Maknya pergi tanpa dia berada di sisi, tanpa sempat meminta maaf, tanpa sempat minta dihalalkan setiap titik susu yang dia minum.
Dia juga tidak bacakan surah Ya-Sin, apatah lagi mengajar Maknya mengucap kalimah syahadah yang mana sepatutnya dia sebagai anak, kena memberi bakti terakhir itu kepada seorang ibu pada hujung nyawanya.
Kebetulan hari ini hari ibu, Maknya mati pada hari ibu.
Pernah juga dia sebagai ibu terima hadiah hari ibu dari anak-anaknya, tetapi dia tak pernah beri apa-apa hadiah kepada ibunya, malah pada hari ibu dia tak pernah pulang pun jumpa ibunya, termauklah pada hari ini, hari ibu yang kebetulan menjadi hari kematian Maknya.

7:
Dia berteluku di pusara ibunya dan menangis kuat, teman sejamaah yang datang bersamanya juga ikut sama menangis, entah betul-betul menangis atau hnya sengaja dibuat sebagai tanda simpati atas kesedihan yang ditanggungnya.
“Ajaran siapa pula yang awak anuti ni?”
Dia dan teman sejamaah merenung suaminya.
“Pemimpin parti Islam awak tu tak beritahu ke, orang Islam tak boleh meratapi kematian, apatah meraung macam yang sedang awak lakukan sekarang ni?”
“Yang mati Mak saya”
“Saya tau”
Dia terus menangis
“Kalau awak menangis sampai air mata yang tumpah banjirkan kawasan perkuburan ni pun Mak awak tak akan hidup kembali. Sepatutnya awak kena menangis melihat betapa Mak awak yang sudah tua awak biarkan tanpa ditanya khabar tentang sakit demamnya, apatah lagi menghiburkan hatinya. Bagi awak parti awak tu lebih penting dari Mak awak”
Bebelan suaminya dirasakan bagai jutaan anak panah sedang menembusi badannya.
“Awak boleh anggap saya tidak penting, boleh tidak uruskan makan minum dan pakai saya, tak pedulikan saya dan awak minta saya jangan pedulikan hal awak. Juga awak boleh biarkan anak-anak awak diletak entah pada tangga nombor berapa dalam hidup awak dengan parti dan pimpinan utama parti tu pula awak letak pada nombor paling utama. Tetapi awak kena ingat, awak tak boleh buat begitu pada Mak awak. Kalau dia pergi dengan hati yang terguris, tak ada syurga untuk awak walaupun bila mati nanti awak dikapan dengan bendera parti Islam yang awak megahkan tu”
Tidak seperti biasa, kali ini dia tidak berani menyanggah dan menyergah suaminya. Setelah kehilangan Maknya, dia tidak mahu akan kehilangan suami pula. Maknya pernah kata, syurga bagi seorang isteri adalah di bawah telapak kaki suami.
Maknya sering berpesan, dia tak payah balik ziarahinya kalau tanpa izin suaminya, kalau sampai menyusahkan suaminya, kalau kerana ziarahnya tugas harian suaminya tergendala.
Maknya menyangka dia jarang balik ziarah kerana suaminya tidak izinkan, walhal suaminya sering ajak dia pulang tetapi dia yang enggan kerana tidak mahu ketinggalan menyertai aktiviti parti.
Apakah Maknya pergi dengan membawa hati yang terguris kerana sikapnya, kerana kealpaannya mempedulikan tentang susah senang dan sakit demamnya?
Kalau Maknya hembuskan nafas terakhir dalam keadaan terkilan terhadapnya, apakah dia akan berpeluang mencium bau syurga?
Dia akan tanya pada pimpinan utama partinya walaupun sebagai seorang lepasan sekolah agama, suaminya pun mampu memberi jawapan bagi pertanyaan seumpama itu, cuma suaminya orang tidak panggil tok guru!

------------------

Tajuk cerpen dan penulis asal ada kt bawah ni:

----------

PESAN MAK
Oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan ulasan anda

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP