.

Darah Anwar dalam PAS

>> 16 Mac 2009


DARAH ANWAR DALAM PAS


Ahmad Lufti Othman

Selepas sesi pembentangan kertas kerja Pertemuan Wartawan Nusantara II yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Melayu, 12 September 1992, seorang yang saya tidak kenali – setelah mengetahui saya dari Harakah – sewaktu minum teh, mengemukakan satu persoalan menarik: “Saudara yakin Anwar akan melaksanakan segala komitmennya terhadap perjuangan Islam jika dia berjaya jadi PM?”

Saya tidak terus menjawab, cuma ketawa kecil. Sebelum dari itu, kami bercakap mengenai pertemuan wartawan Nusantara yang langsung tidak mendapat liputan media utama, yang dikatakan dikuasai oleh kumpulan Anwar, kecuali RTM, walaupun yang merasmikannya ialah Ghafar Baba dan yang menutupnya Menteri Luar, Abdullah Ahmad Badawi.

“Saudara masih menaruh harapan kepada Anwar?” saya mengusiknya. Nampaknya beliau senang dengan usaha itu walaupun saya menjawab pertanyaannya juga dengan pertanyaan.

“Sebenarnya Anwar merancang kemasukannya d
alam Umno dengan begitu licin. Anwar sertai Umno ketika dia sudah pastikan ABIM tidak lagi mempunyai tokoh yang boleh mempersoalkan ‘ijtihadnya’. Anwar sengaja mengarahkan Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin kanan ABIM yang lain sertai PAS sebelum itu bukan kerana dia rasakan waktu itu PAS satu jamaah Islam yang perlu didukung tetapi kerana dia mahu menjayakan cita-cita besarnya untuk masuk Umno ketika Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, “hujahnya Umno ketika Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, “hujahnya.

“Takkan begitu sekali, “ sebenarnya saya ingin mendengar lebih lanjut keterangannya.

“Kalau Anwar yakin dengan perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam atau parti politik Islam, mengapa dia sendiri tidak menyertai PAS bersama Ustaz Fadzil? PAS amat memerlukan tokoh sepertinya ketika itu, ketika PAS kalah teruk di Kelantan. Dan Anwar sendiri yang mengarahkan kemasukan Ustaz Fadzil, Ustaz Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim ke dalam PAS. Ini tentu ada muslihatnya. Anwar memang merancang secara halus supaya bila tiba waktunya, ketika dia berhasrat menyertai Umno, ABIM tidak lagi mempunyai tokoh yang hebat yang berwibawa untuk menahannya.

“Cuba saudara bayangkan imej Anwar menyertai Umno dalam kea
daan ABIM hebat menentangnya? Tetapi apa yang berlaku meskipun ABIM tidak merestuinya, ABIM seolah-olah tidak menghalangnya. Saya masih ingat, dalam ucapan dasar Presiden ABIM, Siddiq Fadil yang pertama selepas kemasukan Anwar ke dalam Umno, perkara itu tidak disentuh secara langsung. Itu satu kejayaan besar buat Anwar. “Begitu bersemangat beliau cuba meyakinkan saya.

“Tapi bagi saya, imej perjuangan Anwar sebenarnya lebih buruk lagi,” rakannya yang mulanya diam mula mencelah.


“Cuba bayangkan,” tambahnya, “semasa Anwar bersama-sama pemimpin PAS mengatur strategi Pilihanraya Umum 1982, dia telah pun bersedia menyertai Umno secara aktif. Maksud saya, sebenarnya Anwar sendiri mengakuinya. Beliau cuma mengumumkan secara rasmi bahawa dia aktif berjuang melalui Umno pada Mac 1982. Maknanya apa ini? Bukankah seperti ular berkepala dua.”

“Begitu juga semasa Anwar mengetuai jawatankuasa khas yang membantah cadangan pindaan Akta Pertubuhan, yang mewakili 19 pertubuhan. Anwar sudah menjadi ahli Umno ketika itu tetapi berpura-pura bertindak sebagai jaguh memperjuangkan kebebasan dan keadilan,” nampaknya marah benar beliau terhadap Anwar.

“Semuanya sudah berlalu. Saya rasa tidak ada manfaatnya kita bincang masalah itu,” saya ingin melihat reaksinya.

“Itu pandangan saudara. Bagi saya, masih ramai orang PAS yang mengharapkan Anwar dapat berbuat sesuatu untuk kepentingan Islam dan tidak kurang yang beranggapan ‘Anwar orang kita dalam Umno’. Saya risau PAS akan tertipu dengan igauannya itu.”

“Saudara ada bukti?”

“Itu tidak penting dan kalau ada pun memang sukar hendak dibuktikan. Orang PAS tidak akan mengaku mereka masih mengharapkan Anwar tapi dalam hati mereka siapa tahu? Tengok sajalah isu kerugian Bank Negara hampir RM16,000 juta, mengapa PAS tidak manfaatkan isu itu dengan sebaik mungkin. Yang hendak saya timbulkan, Anwar memang sejak awal, sejak dilantik Presiden ABIM darah dagingnya disemangati Umno, bukannya PAS!”

“Bukankah Anwar tidak sertai PAS – kerana katanya – pemimpin PAS tidak dapat meyakinkan dirinya dalam banyak isu dasar dan PAS tidak mempunyai program untuk melayakkan parti itu memimpin negara?” Saya sendiri tidak pasti apakah Anwar pernah mendakwa begitu, Cuma Anwar difahamkan pernah berkata demikian.

“Itu alasan tidak masuk akal. Kenapa pula pemimpin PAS mesti membuktikan kepada Anwar? Siapa Anwar untuk menerima penghormatan sebesar itu? Dan sekiranya benar Anwar pemimpin berwibawa, Anwarlah yang merintis jalan menjulangkan PAS sebagai sebuah parti Islam yang memimpin ummah bukan menanti orang lain membuktikannya. Lagipun mengapa pula Anwar mengarahkan Ustaz Fadzil, Ustaz Abdul Hadi dan lain-lain masuk PAS. Sepatutnya Anwar sendiri bersama membuktikan kemampuan PAS itu.”

Bila saya bertanyakan bagaimana dia tahu Anwar pernah mengarahkan Ustaz Fadzil dan pemimpin utama ABIM yang lain menyertai PAS, beliau menjawabnya juga dengan pertanyaan: “Takkan saudara tak baca Harakah . Ustaz Nakhaei jawab Siddiq Fadil mengenai sikap ABIM terhadap pembabitan ahlinya dalam politik. Saya rasa pertengahan tahun 1988.”

“Masa itu, saya tidak bekerja dengan Harakah. Maksud saya, saya berhenti sekejap.” Baru saya teringat artikel berkenaan yang ditulis oleh Ustaz Nakhaie Haji Ahmad ketika itu Ketua Pengarang Harakah dan Naib Yang Dipertua PAS Pusat, menjelang kemasukannya dalam Umno! Saya rasa cukup wajar tulisan tersebut dirakamkan sepenuhnya dipetik dari Harakah, 29 Julai 1988.

“Saya ingin membetulkan salah satu fakta sejarah yang cuba diputarbelitkan untuk tujuan yang meragukan, mumutarkan fakta sejarah adalah tidak wajar walaupun ini dilakukan oleh pemimpin pertubuhan Islam.

“Dengan terlebih dahulu menyatakan hormat kepada Presiden ABIM, sahabat saya yang dikasihi Saudara. Siddiq Fadil, saya ingin menjelaskan mengenai kenyataan beliau berhubung dengan pelepasan beberapa orang tokoh ABIM untuk menyertai parti politik.

“Menurut beliau orang ABIM masuk bidang politik bukan satu yang ganjil. Sesapa saja yang ingin aktif dalam politik harus meletakkan jawatan agar dengan itu ABIM tetap independent dan bebas dalam erti tidak dipengaruhi dan diseret dalam politik kepartian.

“Seterusnya beliau berkata, ABIM memberi kebebasan kepada ahli-ahlinya untuk berperanan di mana mereka sesuai dan berkesan. Kalau seseorang itu fikir dia lebih berkesan berperanan dalam satu-satu bidang tertentu dan dia sudah bertekad untuk berperanan maka ABIM tidak menghalang. Tarbiyah ABIM tidak boleh disalahkan.

“Gambaran yang diberikan oleh beliau mengenai penglibatan bekas tokoh-tokoh ABIM di dalam politik, seolah-olahnya ABIM langsung tidak mempunyai rencana dan langsung tidak mempunyai peranan di dalam melepaskan bekas tokoh-tokoh ABIM itu untuk menentukan parti politik mana yang harus disertai. Sikap lepas tangan dan melarikan diri dari tanggungjawab seperti yang digambarkan oleh Presiden ABIM itu mendukacitakan. Namun begitu, Presiden ABIM tetap mengatakan bahawa ABIM konsisten dari dahulu hingga sekarang.

“Saya masih ingat lagi penyertaan Fadzil Noor, Syed Ibrahim, Haji Abdul Hadi Awang dan saya sendiri adalah perencanaan dan keputusan ABIM. Kami tidak mengambil keputusan bersendirian.

“Keputusan itu bukanlah dari sikap ABIM memberikan kebebasan dan sikapnya menyerahkan keputusan kepada pilihan dan keputusan yang difikirkan sendiri oleh setiap orang daripada kami.

“Penglibatan kami di dalam PAS ialah setelah berlaku kekalahan PAS di Kelantan. PAS di waktu yang sama terkeluar dari Barisan Nasional. Banyak kalangan pensyarah-pensyarah universiti yang menganggotai PAS terpaksa meletakkan jawatan kerana terikat dengan Akta Universiti.

“Pak Natsir, tokoh Islam yang terkenal di Indonesia menulis surat kepada Presiden ABIM di waktu itu ialah Encik Anwar Ibrahim. Surat yang sama dikirimkan kepada Datuk Asri, Yang Dipertua Agung PAS. Kesimpulan surat itu, kalau tak salah ingatan saya menekankan mengenai kelumpuhan yang dialami oleh PAS dan perlunya wadah politik Islam itu dipertahankan.

“Kerana Pak Natsir tahu kehancuran wadah politik Islam Indonesia meninggalkan akibat buruk kepada umat Islam di Indonesia, ia menekankan kepentingan peranan ABIM untuk menyelamatkan PAS. Istilah pemindahan darah adalah istilah yang digunakan oleh Pak Natsir.

“Encik Anwar Ibrahim bersemangat untuk menyelamatkan PAS dan akur dengan pandangan Pak natsir. Beliau dikatakan mendapat lampu hijau dari sahabat-sahabat dalam WAMY. Setelah pertemuan pemimpin-pemimpin ABIM dengan Pak Natsir di Pejabat ABIM di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh ketua-ketua ABIM Negeri, keputusan diambil untuk menghantar beberapa orang tokoh ABIM ke dalam PAS dalam semangat berkobar-kobar untuk mempertahankan wadah politik Islam.

“Presiden ABIM tentu saja masih ingat pertanyaan saya yang tidak dijawab oleh pemimpin-pemimpin ABIM di waktu itu. Saya bertanya untuk ABIM melakukan pemindahan darah, apakah ABIM mempunyai cukup darah? Meskipun pertanyaan saya tidak dijawab, namun apabila keputusan untuk menyelamatkan wadah politik Islam itu ditugaskan kepada saya dengan perasaan tanggungjawab saya memikulnya.

“Alhamdulillah, saya sedikit tidak kesal menerima tanggungjawab jamaah itu. Bahkan saya rasa mendapat satu penghormatan untuk menjadi salah seorang pemimpin pergerakan Islam yang penting di negara ini. Soalnya adakah pertanyaan kami di dalam PAS sama sekali terlepas dari tanggungjawab ABIM dan ABIM yang menentukan pilihan parti yang kami sertai iaitu PAS. Sekarang ini ABIM menyatakan bahawa penyertaan kami di dalam PAS adalah pilihan kami sendiri tanpa tanggungjawab ABIM dan bukan ABIM yang menentukan kami supaya menyertai PAS.

“Hanya ada dua kemungkinan daripada kenyataan itu. Pertama ABIM menyesal dengan peranan dan keputusannya yang lalu untuk menghantar pemimpin-pemimpinnya ke dalam PAS lalu cuba menutup sejarah itu dengan memutarbelitkannya atau ABIM berubah sikapnya terhadap PAS dan tidak langsung seperti dahulu.

“Kedua, ABIM menyusun kembali sikapnya terhadap parti-parti politik dan tidak lagi bersimpati dengan parti politik Islam. Dengan itu menjelaskan kebenaran kritik-kritik bahawa ABIM telah berubah sikap sekarang ini.”

Akhbar The Straits Times Singapura, 3 September 1980 pernah melaporkan ramalan yang mengatakan bahawa “Mr. Anwar would be the logical successor as there was no PAS leader of sufficient stature to rebuild the shattered party after its dismal performance in Kelantan state..”

Di samping itu Pengerusi DAP Kebangsaan Dr. Chan Man Hen semasa persidangan wakil-wakil rakyat DAP, di mana Anwar hadir sebagai pembentang kertas kerja, Ogos 1980 juga meramalkan kemungkinan Anwar menjadi pemimpin PAS. Anwar sendiri ketika menjadi Presiden ABIM semasa ditanya tentang sikap ABIM mengenai politik menegaskan ”...tetapi sebagai pertubuhan dakwah yang berlandaskan Islam sudah tentulah ABIM menggalakkan ahli-ahlinya memilih corak partai yang jelas matlamat keislamannya.”

Dalam buku Anwar Lawan Ghafar? Saya merakamkan laporan utama akhbar The Star, 30 Mac 1982, mengenai sebab Anwar menyertai Umno. Di sini saya salin semula tiga perenggan pertama laporan tersebut: Encik Anwar Ibrahim said today he had chosen to go into politics because of the changes wrought by the new Goverment leadership. He said his basic reason was this trust and confidence in Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad and the changes made since he became Prime Minister. ‘More importantly, we share the same beliefs and ideals...” These changes with which he agreed left him with “no alternative but to give him, his party and his Government my full support, “he said.

Akhbar itu juga memetik kenyataan Anwar yang menegaskan: “I have not resigned my principles in entering politics through Umno. I didn’t discuss any specific terms before joining...we discussed general principles. My views on the Societies Act and the ISA are still there. I have always had a good personal relationship with Datuk Seri Dr Mahathir. He has been open to harsh criticism from me even when it was crudely expressed. ABIM leaders have accepted my decision that I should become active in politics for the sake of national unity and continue my struggle for Islam. “Pembaca boleh menilai kenyataan ini.

Membincangkan hubungan dan kaitan Anwar dengan PAS, saya teringat ucapan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Mohamad Sabu, yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri ketika beliau membahaskan Belanjawan 1993 pada 12 November 1992.

Antara lain Mohamad Sabu menegaskan: “Saya mengalu-alukan Belanjawan ini yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang dahulunya menjadi sahabat karib kami dalam Angkatan Belia Islam Malaysia. Walaupun kami daripada PAS mengharapkan sangat-sangat dahulunya beliau akan menyertai PAS sebab pada tahun 1978 ketika PAS kalah teruk di negeri Kelantan, beliau di antara orang yang bekerja kuat untuk PAS di Kelantan dengan semangat yang diberikan kepada kami, anak-anak muda samaada di kampus ataupun baru lepas daripada kampus dengan alasan mengatakan bahawa satu-satunya parti Islam yang ada di Asia Tenggara adalah PAS. Itulah semangat Presiden ABIM tahun 1978 yang masih berkobar-kobar dalam jiwa kami anak-anak muda di waktu itu.

“Kemudian beliau sendiri mengepalai jentera daripada pelajar berkempen berhempas-pulas. Akhirnya, PAS tidak dapat diselamatkan memerintah negeri Kelantan, tinggal dua kerusi batu nesan. Sekali lagi kami anak-anak muda selepas PAS kalah teruk, balik ke Kuala Lumpur terus ambil borang menyertai PAS di atas saranan, pandangan dan arahan Presiden Angkatan Belia Islam di waktu itu. Setelah kami Datuk Asri Haji Muda tiba-tiba pada tahun 1982 beliau mengambil keputusan menyertai Umno.

“Lututku bergegar di waktu itu. Apakah selama ini arahan ataupun pandangan tahun 1978 itu hanyalah tiupan sementara kepada anak-anak mud yang ingin melihat Islam dan perlaksanaan Islam terserlah di Malaysia dengan menyertai PAS. Walaupun ada di antara kawan-kawan dalam ABIM mengalirkan air mata kerana beliau mengambil keputusan menyertai Umno tetapi dihati kecil mereka tetap mendoakan, al-Sheikh Anwar Ibrahim “insan kamil lagi mutakamil”,

selamat belayar dan memimpin Umno pada satu hari nanti untuk memimpin umat Islam ke jalan yang pernah diucapkan semasa menjadi Presiden ABIM. Walaupun hati kecil luka di atas sikap beliau menyertai Umno tetapi hati kecil kami tetap berdoa semoga beliau berjaya.

“Harapan kami itu sekarang ini semakin berkecai. Setelah 1982 – 1992, sepuluh tahun menyertai Umno ucapan-ucapannya semasa memberangsangkan kami menyertai PAS dahulu semakin jauh bahkan dalam ucapan Belanjawan ini sanggup beliau mengutuk dengan mengatakan ulamak-ulamak kolot, berfikiran jumud, sedangkan beliau sendiri naik ke atas pentas melalui ulamak-ulamak jumud ini.

Apakah beliau berbangga sekarang setelah menjadi kawan Vincent Tan, kawan kepada Ananda Krishnan? Boleh naik kapal terbang yang disewa oleh Vincent Tan maka beliau telah menganggap kawan-kawannya dahulu jumud, kawan-kawannya dahulu berfikiran tidak waras dan sempit? Kalau inilah lagak beliau untuk masa hadapan maka harapan kami semakin tipis. Dan yang paling penting imej Islam yang ada cuba dibawa oleh beliau ke dalam Umno barangkali akan hancur berkecai apabila dilihat oleh orang-orang Umno sendiri.

Ini termasuk mereka yang berfikiran sekular dalam Umno, apabila melihat gelagat beliau, mereka mengatakan kami tidak sangka akhirnya ia berkawan rapat dengan taukeh-taukeh judi. Inilah Menteri Kewangan yang saya sayangi dahulunya dan sekarang telah menjadi sedemikian rupa.’

Bagaimanapun pada 17 November, juga pada sidang Parlimen, Anwar menyifatkan dakwaan bahawa beliau menaiki kapal terbang Tan Sri Vincent Tan ke Johor sebagai berniat jahat.

Katanya: “Ini fitnah, penipu, pendusta “Beliau seterusnya menambah: “Saya pergi ke Desaru tetapi sebelum itu saya hadir di Desaru. Oleh kerana kesuntukan masa, PKENJ menyewa helikopter. Saya –wallahuaklam- tidak tahu yang sewa helikopter itu siapa sehingga saya naik. Sewa helikopter dibayar setengah oleh PKENJ setengahnya dibayar oleh Umno Johor. Tetapi apa yang dikatakan oleh Ahli Yang Berhormat dari Nilam Puri? Vincent Tan yang bayar! Kalau bercakap di Laha’ Yuewkah, dimanakah dia tipu begitu ada yang mengangguk, ada Yang Berhormat yang mengangguk ada ulamak macam ulamak Pengkalan Chepa angguk tiga kali walaupun sumber itu sumber fitnah.”

Dalam ucapannya itu juga Anwar begitu hebat mengecam Haji Nik Abdullah Arshad (MP Pengkalan Chepa). Pak Nik Lah cuba bangkit untuk memberi penjelasan tetapi tidak diberi laluan oleh Anwar.

Antara lain Pak Nik Lah mencelah: “Dia (Anwar) kata saya melenting sedangkan dia yang melenting ...Dia kata ulamak jumud tidak apa, tetapi kita kata dia lebih kurang tak boleh...”

Apabila Anwar menyelar sikap Pak Nik Lah dan menghubungkannya dengan sifat ulamak, Pak Nik Lah berkata-kata “Saya tidak mendakwa saya ini ulamak. Saya hanya menjawab kepada hujah beliau sahaja.”

Anwar menjawab: “Kalau bukan ulama, maknanya pemimpin politik picik.”

Untuk lebih menggambarkan sikap Anwar berhadapan dengan pemimpin PAS di Parlimen, saya salin semula hansard Parlimen pada 17 November 1992 itu, selepas Anwar mendakwa Pak Nik Lah sebagai pemimpin politik picik:

Haji Nik Abdullah Arshad: “Kalau boleh biar saya sambung, Tuan Yang Dipertua.”

Timbalan Yang Dipertua (Haji Juhar Mahiruddin): “Yang Berhormat, dia tidak beri jalan lagi, sila duduk.”

Haji Nik Abdullah Arshad: “Dia maki orang boleh. Bila saya cakap dia lari. Kenapa dia lari masa saya bercakap? Hansard dia tidak baca. Apakah Dewan ini untuk Menteri Kewangan ataupun untuk wakil rakyat?’

Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Ulamak ini kena sabar.”

Haji Nik Abdullah Arshad: “Saya sudah sabar. Apa tidak duduk lagi, beri peluanglah. Maki orang boleh, saya hendak tanya tidak boleh, macam mana?”

Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Jumud ini maknanya...”

Haji Nik Abdullah Arshad: “Saya mengaku dalam banyak perkara saya masih jahil. Tetapi kalau orang yang fikir dia sudah alim kemudian menyerang ini yang menjadi masalah kepada kita. Saya hendak menggunakan ruang dan kesempatan pada petang ini untuk menjawab tuduhan yang dibuat tetapi ini dia. Umpamanya helikopter yang diberi oleh Vincent Tan, saya jawab. Yang tuduh itu wakil parti Islam Nilam Puri. Bila saya tengok perangai, Tuhan sahaja yang mengetahui. Jadi ini yang saya sebut.”

(Tuan Yang Dipertua mempengerusikan mesyuarat).
Mohamad Sabu: (Bangun)

Episod selepas itu menyaksikan Anwar langsung tidak memberi ruang kepada Mohamad Sabu dan Pak Nik Lah untuk memberi penjelasan, di atas perkara yang berbangkit mengenai mereka. Akhirnya Mohamad Sabu mengambil keputusan keluar dari Dewan semasa Anwar sedang berucap, Anwar memberi reaksi spontan: “Yang Berhormat dari Nilam Puri kata saya takut hendak berbahas dengan dia. Tolong cermin dulu.”

Anwar sebelum itu menyelar Harakah sebanyak tiga kali. Katanya: “Saya tahu Harakah akan menyerang besar-besaran.....Saya tahu pengarang-pengarang Harakah di belakang boleh dengar dan boleh tulis apa yang dia hendak maki-makilah, saya tidak peduli.”

Anwar juga menyebut bahawa Pak Nik Lah pernah memberi gelaran buruk terhadapnya ketika mengetuai beberapa kementerian: “Kalau semasa saya Menteri Pertanian, kata dia Menteri Lembu dan Tikus. Masa saya Menteri Kebudayaan, ini Menteri Bola dan Tarian. Masa saya jadi Menteri Pendidikan, Menteri Tadika dan Kelas Dewasa. Sekarang Menteri Arak dan Judi.”

Banyak pihak kecewa dengan sikap Anwar di Parlimen itu, apatah lagi Anwar hanya berdasarkan hansard bukannya mendengar sendiri. Jadi, hanya berdasarkan hansard bagaimana Anwar boleh menyifatkan ucapan pemimpin PAS “menggunakan kata-kata yang kesat, menghina, menunjukkan kebencian yang keterlaluan “ sedangkan maksudnya tidak begitu.

Sewajarnya sebagai seorang yang bercita-cita besar menjadi Perdana Menteri, Anwar harus berjiwa besar berlapang dada menerima kritikan dan teguran serta menjawab persoalan yang ditimbulkan , bukannya dengan menyerang balas secara sembrono. Apa yang hendak ditakutkan jika Anwar yakin selama dia menerajui Kementerian Kewangan tiada penyelewengan dan salahguna kuasa yang dilakukannya.

Lebih mengaibkan bila Anwar menyerang dan memaki hamun ulamak yang memerintah Kelantan. Anwar telah menunjuk jalan kepada pemimpin Umno lainnya untuk menghentam ulamak. Mereka lebih berani kerana Anwar telah merintis jalan ke arah itu. Dalam hubungan ini menarik juga diteliti pandangan pihak tertentu bahawa: “Anwar masih mentah, mudah mengelabah, kuat melatah, cepat naik angin dan kadang-kadang apabila terdesak hilang kewarasannya.”

Sekiranya Anwar berjaya menawan Sri Perdana – apabila diteliti sikapnya di Parlimen – tidak dapat dipastikan apakah beliau akan menghulur persahabatan dengan PAS atau lebih hebat menyerang untuk memusnahkan PAS bagi melonjakkan dirinya sebagai pemimpin Umno nombor wahid, atau untuk membuktikan kepada kuasa-kuasa besar, khususnya Amerika bahawa dia bukanlah seorang yang “fanatik” terhadap agamanya!

Nota : Rencana di atas ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya "Memo Buat Bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993. Ahmad Lufti sekarang adalah Ketua Pengarang Harakah.

Baca juga :
1. Ketika Anwar menteri kewangan, Bank Negara rugi, siapa pula kaki judi?
2. Anwar dan Teori Konspirasi - Ibrahim Ali
3. Anwar lebih GANAS dari Mahathir - Mat Sabu

Sumber : AIDC

Read more...

Anwar Lebih GANAS dari Mahathir - Mat Sabu

>> 15 Mac 2009



ANWAR LEBIH GANAS DARIPADA MAHATHIR-MOHAMAD SABU


Wawancara Ahmad Lutfi Othman dengan Ahli Parlimen PAS, Haji Mohamad Sabu, pada 14 Jun 1998, jam 11.15, di pejabat urusan TAMADUN.



Ramai orang masih bercakap tentang bahang reformasi di Indonesia. Bagaimana tanggapan awal saudara terhadap apa yang berlaku di Indonesia?

Sebenarnya rakyat Indonesia sedang mencari identiti. Kita yakin reformasi yang berlaku di Indonesia ini akan mengangkat Islam ke tempatnya. Bukanlah ia sampai ke tahap menegakkan negara Islam di Indonesia tetapi mereka yang bercakap tentang Islam mula mendapat tempat di hati rakyat. Komunisme memang telah ditolak, nasionalisme Jawa mula terhakis. Saya yakin reformasi ini memberi peranan yang utama terhadap gerakan Islam.

Nampaknya istilah reformasi ini dianggap ”keramat”, ia bukan saja diperkatakan rakyat biasa malah diulangi Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Banyak golongan oportunis mengambil peluang. Kita tahu bahawa Suharto mengumpulkan harta-hartanya dan juga ahli-ahli kabinetnya yang membezakan hanya jumlah. Maknanya nepotisme boleh dikatakan berlaku pada hampir semua anggota Kabinet. Begitu juga Habibie dan anak-anaknya yang turut berkongsi dengan keluarga Suharto dalam perniagaan. Tetapi untuk menyelamatkan sesuatu regim selalunya akan dipersalahkan pada seseorang.

Angin perubahan itu bertiup ke Malaysia. Khususnya golongan yang menyertai Umno selepas penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam Umno, bagi mereka kini adalah peluang untuk mereka menyahkan yang berkuasa sekarang iaitu Mahathir. Sebenarnya gejala nepotisme yang berlaku dalam pemerintah di Malaysia di antara Mahathir dan Anwar, saya meletakkan Anwar Ibrahim lebih ganas daripada Mahathir.

Anwar lebih ganas berbanding Mahathir? Ganas yang bagaimana?

Ya, ini kerana Anwar masih lagi berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang belum berkuasa penuh tetapi suku sakatnya telah mencipta kekayaan lebih hebat. Bukannya dari segi amaun kerana amaun yang dikumpulkan oleh kumpulan pro Mahathir tentu lebih banyak. Kita boleh bertanya, misalnya adakah Kamaruddin Jaafar atau Kamaruddin Mohd Nor menjadi jutawan segera kerana dia pandai berniaga atau disebabkan sahabatnya menjadi Menteri Kewangan?

Begitulah juga dengan Rani Ibrahim, Marzuki Ibrahim dan Rosli Ibrahim yang naik mendadak dalam perniagaan, adakah kerana mereka pandai berniaga atau kerana saudara mereka menjadi Menteri Kewangan ? Begitu juga dengan bekas setiausaha sulit Anwar, Nasarudin Jalil dan beberapa orang lain yang dekat dengan Anwar naik begitu mendadak. Kita jangan lupa semasa hendak menjatuhkan Ghafar Baba wujud peranan seperti Quek Leng Chan dan beberapa orang jutawan yang lain dalam membiayai golongan tertentu untuk menguasai saham NST dan TV3. Ini semua gara-gara Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan demi mengukuhkan posisinya.

Bagi saya, walaupun Anwar belum mempunyai kuasa penuh, dia sudahpun menunjukkan bakat ”keganasannya” melebihi Perdana Menteri, PM.....kita sudah tahulah yang anak beranak dan suku sakatnya terlibat dalam nepotisme.

Jadi, kalau kita hendak membuat reformasi di Malaysia mestilah reformasi secara menyeluruh iaitu sistem politik, undang-undang dan akar umbinya politik wang perlu dicantas! Ini mesti dilihat kerana cara TPM naik lebih drastik. Kita ingin bertanya lebih kurang 300 juta saham Petronas Dagang dilabur ke mana sehingga perwakilan Sabah boleh berubah daripada menyokong Ghafar kepada Anwar dengan begitu mengejutkan? Ini bermakna Anwar saling ”mengganas” dalam soal nepotisme!




Maksudnya Anwar tidak layak untuk menerajui gerakan reformasi?

Anwar langsung tidak layak bercakap soal memerangi gejala buruk nepostisme ini, begitu juga dengan penyokong-penyokongnya.

Bagaimana dengan Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO?

Zahid juga tidak layak kerana perbelanjaan wang semasa berkempen untuk menang menjadi Ketua Pemuda begitu dahsyat. Kritikannya baru-baru ini memang ditujukan kepada PM tetapi tidak disebut nama PM. Seolah-olah katanya: ”Mengapa beri pada orang-orang tertentu sahaja? Kalau beri kepada kami pun kami boleh bayar cukai dan mungkin bayar zakat.”

Ertinya dia mengkritik kerana orang-orangnya tidak dapat habuan, bukan kerana keadilan.

Apabila kita mengkritik nepotisme, kita sewajibnya jangan amalkan perbuatan itu dan kalau diberi kesempatan duduk di tempat tertinggi itu pun kita tidak akan buat. Itu barulah kritikan yang ikhlas.

Semalam PM sudah memberi respons apabila disebut kroni, semuanya adalah kroni, terutama apabila wartawan turut mempersoalkan perlantikan Zahid sebagai Pengerusi BSN, apakah itu juga ada kaitan dengan nepotisme.

Betul tu. Nampaknya orang nombor dua lebih mengganas daripada orang nombor satu dan dalam keadaan lain yang nombor satu juga lebih mengganas daripada orang nombor dua dalam soal nepotisme. Sama saja.

Tetapi yang kita nampak daripada imej umum Anwar tetap bersih?

Imej umum dikuasai oleh media yang juga dikuasai oleh orang nombor dua (Anwar Ibrahim). Pernah satu ketika, kalau menonton TV3, Kadang-kadang berita PM duduk ditempat keempat. Berita TPM diutamakan, barulah diikuti berita lain, yang keempat baru berita PM. Tetapi apabila kita menghentam dalam ceramah—ceramah barulah kita nampak berita PM sudah di tempat pertama. Ertinya media dikuasai oleh orang nombor dua. Jadi, gambaran nepotisme itu hanya dilonggokkan kepada PM.

Kalau media tempatan, memang ia di bawah kawalan Anwar tetapi bagaimana pula dengan laporan media antarabangsa yang juga nampaknya menyalahkan Mahathir dan cuba hendak menaikkan Anwar.

Satu, media antarabangsa mempunyai dua tugas. Apabila sesuatu negeri itu berlaku perubahan, mereka mahu kepimpinan itu bertukar. Bagi Barat ia telah menerima Anwar sebagai pemimpin yang sesuai untuk menghadapi senario kebangkitan Islam di sebelah sini. Barat mahukan dua corak Islam.

Pertama, Islam Amerika iaitu Islam yang berbentuk ilmiah tetapi tidak sampai ke pelaksanaan hukum. Ini yang dipelopori oleh IIIT, ICMI, ABIM. Dalam hal ini Barat tidak ada masalah.

Kedua, Barat mahukan Islam bercorak ala Afghanistan dan bercorak Taleban. Kalau golongan ini muncul, Barat tidak ada masalah kerana ia adalah peluang bagi Barat untuk menggambarkan betapa buruknya Islam.

Cuma Barat tidak mahukan Islam bercorak ala Iran atau Sudan. Ini kerana mereka terlepas daripada cengkaman kekuasaan Barat. Untuk menghadapi 250 juta umat Islam di sebelah sini memang Anwar orang yang paling layak untuk mengekalkan pengaruh Barat dan sesuai dengan kehendak Barat.

Ertinya saudara tidak meletakkan apa-apa harapan kepada Anwar?

Saya tidak meletakkannya.

Mungkin kerana saudara daripada parti pembangkang dan Anwar adalah seteru politik terbesar PAS?

Oh, tidak! Saya tidak nampak begitu. Kita boleh lihat daripada rekod. Sejak dia menjadi Menteri Kewangan, bagaimana peruntukan saham diagihkan, bagaimana projek yang di bawah kawalannya diberikan, tidak nampak ia berlainan dengan orang nombor satu.

Mungkin realiti untuk merebut tampuk kepimpinan dalam UMNO memaksa Anwar berbuat demikian.

Serupalah. Sekarang ”terpaksa” kerana hendak merebut kuasa dan selepas ini ”terpaksa” kerana mempertahankan kuasa. Dia hendak mempertahankan kuasa, jadi dia akan teruskan agenda yang dibuatnya sekarang.

Anwar pernah diserang hebat atas dakwaan terbabit dengan skandal seks. Bagi pandangan Saudara, adakah tuduhan itu memberi kesan buruk kepadanya?

Ya, skandal seks itu kita lihat macam boleh menjatuhkannya..tetapi kita sendiri tidak tahu sejauh mana benarnya tuduhan itu. Tetapi dengar khabar baru-baru ini ada percubaan untuk membunuh orang yang menulis surat sumpah yang mengaku melakukan homoseks dengannya tetapi katanya yang menjadi mangsa ialah isteri penulis berkenaan. Cerita seperti ini mudah tersebar. Saudara harus menyiasatnya. Media di negara ini, berbeza dengan suratkhabar di luar.

Di luar negara mereka mendedahkan skandal, tetapi di sini mereka menutupnya. Jadi ini seperti skandal dalam filem Hindustan. Jadi kalau kita menonton filem-filem Hindustan, pegawai polis dan gengster membuat pakatan jahat. Katanya, Anwar sendiri peminat filem Hindustan, mungkin beliau lebih maklum.

Saya pernah berjumpa dengan beberapa orang ulamak yang di luar PAS, apabila ditimbulkan dakwaan skandal seks Anwar, mereka menyifatkannya tidak lebih daripada fitnah semata-mata.

Apabila orang itu mempunyai watak seperti itu, yang selama ini nampak bersih, kita menganggapnya sebagai fitnah. Apa yang kita mahu di sini adalah Anwar mestilah membersihkan dirinya. Membersihkan diri bukannya dengan berdiam begitu sahaja atau menafikannya kepada pihak akhbar.

Anwar harus mengambil tindakan undang-undang dan membawa mereka menuduhnya ke pengadilan. Jika tidak, saya rasa ia akan timbul lagi dalam perhimpunan Agung UMNO. Kita dengar khabar ada buku akan keluar tentang skandal ini. Selagi ia tidak membersihkan tuduhan skandal seks ini akan terus berputar. Kita pun tidak mahu TPM kita teraniaya.

Anwar sendiri selepas tercetusnya peristiwa ini, lebih kurang enam bulan dia tidak bercakap soal-soal agama, hanya kebelakangan ini dia kembali berkhutbah. Jadi kita nampak berlaku perubahan ketara lima enam bulan dia mengambil cuti untuk tidak bercakap soal-soal agama dan khutbah.

Hanya sekarang dia baru hendak berkhutbah. Barangkali baginya masyarakat sudah lupa. Kita tidak menuduh Anwar tetapi yang kita pelik, mengapa dia tidak membersihkan dirinya setakat ini?

Maknanya masih banyak lagi tanda soal di sekitar pertuduhan?

Ya, orang yang menulis surat itu pun berada dalam ketakutan. Ertinya mereka masih diugut, diancam oleh pihak-pihak tertentu.

Khabarnya Saudara pernah berjumpa dengan orang yang menulis surat terbuka itu? Adakah sebarang maklumat yang boleh dikongsi bersama dengan kami?

Ya, penulis juga bukanlah pada peringkat menuduh Anwar melakukan apa-apa, tetapi mereka empat keluarga mengakui sungguh-sungguh melihat Anwar masuk ke dalam apartment bersama dengan pasangan yang tertuduh itu.

Jadi, pendirian penulis surat itu tidak berubah. Dan dia kelihatan takut untuk bertembung dengan orang. Kalau dia bertembung dengan seseorang dikhuatiri dia akan disiasat oleh polis Cawangan Khas.

Sekiranya berlaku peralihan kuasa iaitu Anwar menggantikan Mahathir, agaknya bagaimana nasib PAS?

Saya lebih bimbang dan berdoa secara peribadi biarlah Mahathir mengepalai pilihan raya akan datang kerana kalau Anwar naik menjadi PM, dia cukup pandai menggunakan agama.

Minggu pertama dia menjadi PM, misalnya Anwar berkhutbah di Masjid Negara akan disiarkan di seluruh negara. Lelaki pergi ke masjid sembahyang Jumaat dan wanitanya yang berada di rumah akan melihat bagaimana selepas merdeka, inilah Perdana Menteri yang pertama membaca khutbah tanpa teks pada minggu pertamanya menjadi PM.

Sesungguhnya orang seperti Anwar begitu pandai dan licik menggunakan saluran agama dan pandai mengambil sentimen orang Melayu berbanding Mahathir. Kita bukanlah takut tetapi kita tahu tahap pemikiran Melayu setakat mana. Jadi secara peribadi saya berdoa agar Mahathir kekal mengepalai pilihan raya yang akan datang.

Mungkin di zaman Anwar masalah kekangan demokrasi, kebebasan, ISA dan akta-akta tertentu akan berubah?

Saya tidak nampak ia boleh berubah. Contoh paling nyata ialah tempat yang Anwar berkuasa penuh, iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Di situlah Anwar menjadi Presiden, tempat berkumpulnya orang-orang Anwar sehingga menjadi universiti paling tercorot dalam Asia.

Universiti yang hanya untuk meluluskan puak-puak penyokong Anwar supaya ada ijazah. Di situ juga berlaku kongkongan malahan lebih dahsyat berbanding universiti-universiti lain.

Jadi saya tidak nampak ada lebih kebebasan di situ. Anwar lebih pandai dari sudut menguasai budaya Melayu, manakala Mahathir kurang pandai dalam soal itu.

Saudara tentu lebih mengenali Anwar semenjak sebelum menyertai UMNO? Agaknya apa keistimewaan Anwar..

Ya, pada diri Anwar ada satu perkara yang tidak berubah iaitu perhubungan awamnya, PR, cukup baik. Walaupun berdepan dengan lawan atau kawan, PR-nya cukup bagus. Dia pandai membina pengikut-pengikut yang setia kepadanya dan kepada musuhnya, dia boleh bersikap negotiate.

Semasa dia di dalam ABIM dahulu dia adalah hard working man tidak kira pagi atau malam. Balik ceramah pukul dua atau tiga malam, esoknya pukul tujuh pagi sudah berada di pejabat. Anwar cukup disiplin.

Khabarnya Anwar sentiasa menjalin hubungan secara peribadi dengan ahli-ahli UMNO di setiap peringkat.

Ya. PR-nya sangat bagus.


Dari segi lain ada pihak melihat kerjasama PAS-UMNO akan berlaku apabila Anwar jadi PM.

Cakap-cakap sekarang memang begitu terutama sekali hubungan peribadi Anwar dengan pemimpin PAS termasuk pimpinan PAS sekarang amat erat. Hampir semua pimpinan PAS mempunyai hubungan peribadi yang baik dengan Anwar tetapi kita tidak tahu sejauh mana soal penegasan dasarnya.

Kita nampak...kalau dengan Semangat 46, yang berlainan dasar pun boleh ada gabungan yang ini juga membimbangkan kita.



Kata orang, berbanding Mahathir Anwar dilihat jarang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memperlekehkan Islam?

Anwar memang lebih bijak berbanding Mahathir. Mahathir tidak reti menerangkan Islam tetapi Anwar lebih pandai. Misalnya, apabila menerangkan hukum Hudud, Mahathir akan menolaknya secara total tetapi Anwar akan memberi alasan daripada Yusof al-Qardhawi, pandangan ulamak itu ini, soal awlawiyyat atau prioriti. Jadi penolakan Anwar lebih lunak! Memang kedua-duanya nyata menolak hudud tetapi Mahathir tidak bijak menyusun hujah.

Katanya imej Anwar di peringkat antarabangsa diakui masih hebat?

Masih hebat! Sehingga apabila saya pergi ke Pakistan, pemimpin-pemimpin Jamaat Islami di peringkat atasan begitu menghormati Anwar. Tetapi apabila saya menceritakan kepada mereka yang saya menjadi Ahli Parlimen sudah lapan tahun..

pada mula saya masuk dahulu saya dapati daripada empat jenis judi dikeluarkan tetapi apabila Anwar menjadi Menteri Kewangan, judi yang telah dihalalkannya telah bertambah menjadi sembilan jenis termasuk judi lumba kuda. Dahulu ada tiga tempat judi lumba kuda iaitu Ipoh, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Apabila dia menjadi Menteri Kewangan, ia telah bertambah di Sabah sehingga menimbulkan kemarahan ahli-ahli Parlimen di sana dan juga menimbul bantahan di Sarawak apabila judi lumba kuda juga hendak diwujudkan di sana.

Begitu juga Genting Highlands menjadi pusat judi ketiga besar di dunia sekarang di bawah Menteri Kewangan yang berkuasa sekarang ini. Jadi, apabila saya ceritakan perkara ini kepada Jemaat Islami itu, mereka terkejut.

Katanya: ”We have a different view!” ”Kami tidak pernah mendengar cerita-cerita seperti ini!”

Kata saya, sama ada orang beri fakta salah kepada kamu atau kamu naif dalam memahami keadaan itu. Sambung saya lagi Timbalan Perdana Menteri kami mempunyai hubungan yang baik dengan taukeh judi, Lim Goh Tong.

Pada masa dia menjadi Ketua Pemuda, Anwar mudah mendapat bantuan Yayasan Gerak Bakti daripada taukeh judi.

Akhirnya kata ketua Jamaat Islami, ”kita ada gambaran yang lain selama ini.”

Begitu juga mereka mendapat gambaran yang salah tentang Malaysia terkenal sebagai negara Islam dan ekonomi yang hebat. Saya akui ia memang betul di luar negara tetapi mereka tidak bertanya pun orang Islam memiliki ekonomi sebanyak mana? 18 peratus ekonomi itu adalah hasil gabungan MARA, agensi kerajaan dan pemilik Bumiputera Islam. Kalau ditolak itu semua ternyata pemilik ekonomi Islam tinggal di bawah paras 18 peratus. Jadi dari segi kek ekonomi orang Islam di Malaysia kurang 18 peratus!

Saya pernah membentangkan kertas kerja di Afrika Selatan menceritakan hal murtad dan dadah di Malaysia. Semasa saya bercakap itu ada di antara mereka yang mencebik mulut. Mereka tidak percaya jika murtad berlaku di negara yang dianggap negara Islam seperti Malaysia.

Selepas beberapa lama saya bercakap itu, mereka berjumpa saya dan ucap tahniah. Mereka mengakui apa yang saya katakan itu benar. Begitulah imej Mahathir dan Anwar di negara-negara luar. Begitu hebat sekali. Sehingga saya beritahu beribu-ribu orang Islam Malaysia sudah murtad, mereka tidak percaya kerana di tempat mereka (Afrika Selatan) orang kulit hitam berlumba-lumba masuk Islam.

Di India sendiri,orang Hindu ramai masuk Islam dan adalah pelik jika ada orang Islam masuk agama Hindu. Begitulah anggapan awal mereka. Sehingga mereka bertanya apa sebenarnya yang Anwar telah buat untuk membantu Islam?

Jadi, gambaran media asing terhadap Islam di Malaysia berjaya digembar-gemburkan. Jadi kalau Anwar menjadi PM, media berjaya meyakinkan negara Islam lain bahawa Anwar adalah pemimpin Islam yang unggul dan dia boleh muncul sebagai pemimpin terhebat di OIC selain Iran.

Dari segi ekonomi, ada pihak menyatakan cara pendekatan Anwar agak berbeza daripada Mahathir. Cara Anwar lebih merakyat sifatnya sedangkan Mahathir terlalu menumpu kepada membina jutawan segera Melayu dan melonggokkan projek untuk dua tiga kerat tokoh korporat tertentu.

Itu memang ada sedikit sebanyak. Tetapi habuan untuk rakan-rakan dan penyokong-penyokong Anwar, serupa saja! Contohnya kita terlupa Muhammad Taib itu adalah ahli Team Wawasan yang diterajui Anwar an orang-orang ini terkenal dengan masalah skandal penggadaian tanah.

Jadi, dari segi kawan-kawannya dalam penimbunan kekayaan tidak nampak penegahan daripada Anwar. Dan sekarang kes Menteri Belia dan Sukan masih lagi tidak selesai yang membabitkan RM200 juta hasil penjualan tanah di Johor. Itu semua adalah orang-orang team Anwar, yang tidak banyak beza dengan kroni Mahathir.

Begitu juga dengan gosip tentang Timbalan Menteri Besar Pahang yang dikatakan memiliki wang yang banyak. Jadi, dari situ tak banyak bezanya Cuma. Cara Anwar bercakap ternyata tertumpu kepada rakyat, tindakannya belum tentu.

Bercakap soal kroni dan nepotisme dan segala macam kebobrokan yang berlaku, malangnya bagi rakyat Malaysia kerana tidak diberi pilihan untuk mengangkat kerajaan alternatif. Daripada 22 juta rakyat, hanya 2,000 perwakilan UMNO yang menentukannya.


Kita tidak nampak senario ini boleh diubah dalam masa yang singkat sebab reformasi politik di Malaysia masih tidak berlaku walaupun telah lama diperjuangkan pembangkang sama ada PAS dan DAP kerana kita masih dalam frame work yang sama. Kita tidak nampak buat masa sekarang pembangkang boleh menang pilihanraya. Kalau berlaku reformasi pun, ia berlaku dalam sistem ortodok.

Ia mungkin tidak berlaku seperti di Indonesia disebabkan perbezaan sejarah. Indonesia merdeka menerusi revolusi, kejatuhan Soekarno pun ala revolusi dan Suharto pun ala revolusi. Tetapi politik kita sejak berzaman dipupuk politik ala British.

Jadi berlainan skop dan budaya walaupun kita berada di sempadan tetapi apa yang berlaku di England, sebahagiannya lebih mempengaruhi Malaysia berbanding Indonesia. Begitu juga ulamak-ulamak kita di sini dari segi hendak mencuba sesuatu yang baru dalam politik rasanya amat sukar. Kalau hendak dikatakan takut tidaklah kerana mereka terlalu berwaspada.

Menurut pengalaman pemimpin Jamaat Islami Pakistan, untuk mengubah sistem feudal dan land lord di negara itu, ia harus menjurus ke arah revolusi rakyat. Ini yang sedang diteroka oleh Amir Jamaat dan mereka nampak ada perubahan dalam gerakan.


Nota : Rencana ini ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman dalam buku Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?, Penerbitan Pemuda, 1998. Sekarang beliau merupakan ketua pengarang Harakah.

Baca juga :
1. Ketika Anwar menteri kewangan, Bank Negara rugi, siapa pula kaki judi?
2. Anwar dan Teori Konspirasi - Ibrahim Ali

Sumber : AIDC

Read more...

Ketika Anwar Menteri Kewangan, Bank Negara rugi, Siapa pula kaki judi ?

>> 14 Mac 2009


Ketika Anwar Menteri Kewangan, Bank Negara rugi, Siapa pula kaki judi ?



Ahmad Lutfi Othman


Nota : Rencana ini ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman dalam bukunya "PAS zaman Anwar : Memo untuk bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993. Sekarang beliau Ketua Pengarang Harakah. Rencana asal bertajuk " Kerugian Bank Negara : Siapa pula kaki judi ?"

Sebaik sahaja mengetahui Bank Negara mengalami kerugian RM 9,300 juta akibat urusniaga pertukaran asing, pada pertengahan April 1993, saya, ketika itu sebagai Pengarang Kumpulan Harakah bergegas meminta wartawan kanan, Rashidi Hassan menghubungi Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah bagi mendapatkan komen lanjut. Bagi saya kerugian begitu besar tidak boleh didiamkan. Rakyat perlu mengetahui apa yang berlaku sebenarnya. Dan tentunya sebagai bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh boleh memberi penjelasan dalam masalah yang agak sukar difahami oleh rakyat biasa.

Sebenarnya pihak media tempatan tidak langsung menyentuh kerugian ini selama hampir dua minggu selepas Laporan Bank Negara dikeluarkan. Hanya selepas media asing melaporkannya maka barulah terdapat berita mengenainya di akhbar tempatan. Itupun sekadar memaklumkan dan tidak menjelaskan kenapa berlaku peristiwa yang sungguh merugikan rakyat itu. Difahamkan akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris diarahkan supaya mengecilkan perkara ini. Terlalu banyak pekung yang hendak ditutup akhirnya bau busuk dapat dihidu di segenap ceruk.

Seperti biasa Rashidi akan menghubungi terus Ketua Penerangan S46, Ahmad Shabery Cheek, yang sentiasa berada di rumah Tengku Razaleigh.

“Beritahu Shabery kenyataan Ku Li itu kita akan jadikan lead Harakah”, pesan saya secara bergurau kepada Rashidi.

Namun begitu, setelah menyemak sepintas lalu berita-berita yang ada untuk keluaran Isnin, 19 April 1993, tidak ada berita yang sesuai. Berita dari Kelantan agak menarik, tentang kenyataan Tuan Guru Menteri Besar yang menyifatkan usaha UMNO menurunkan Sultan Ismail Petra dari takhta Kesultanan Kelantan dan digantikan dengan Tengku Ibrahim Petra adalah satu rancangan untuk menzahirkan raja politik di negara ini. Bagi muka belakang, saya pilih analisis perkembangan terbaru UMNO, kemungkinan Ghafar Baba tarik diri dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO, dengan memberi laluan kepada Musa Hitam.

“Lutfi.....Shabery kata, okey. Dia sedang bincang dengan Ku Li dan akan faxkan ke sini pada sebelah petang nanti. Muka depannya?” Rashidi nampaknya gembira.

Saya sendiri gembira bila mendapat tahu Tengku Razaleigh sudi memberikan komen. Peranan Harakah menjadi lebih penting dalam mengetengahkan isu ini kerana semua akhbar utama menggelapkannya, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Jumlah RM9,300 juta bukan nilai yang boleh dipandang ringan!

Tengku Razaleigh, melalui kenyataannya kepada Harakah, berkata kerugian yang ditanggung oleh kerajaan adalah lebih besar jika dibandingkan dengan kerugian terkumpul yang melibatkan skandal BMF, Manimco dan koperasi pengambil deposit : “Bahkan jumlah RM9.3 bilion itu hampir sama dengan seluruh anggaran perbelanjaan pembangunan negara bagi tahun 1993. malah negara tidak pernah menanggung kerugian sebanyak itu.”

“Kalau di negara-negara lain, menteri yang bermaruah sudah meletakkan jawatannya kerana kerugian,” tegas Tengku Razaleigh.

Beliau kesal dengan sikap Menteri Kewangan yang berdiam diri dan tidak mahu menjelaskan pokok pangkal sebenar skandal ini kepada rakyat. Saya memilih tajuk “Anwar Perlu Ambil Tanggungjawab” untuk lead Harakah minggu itu.

Untuk keluaran Harakah berikutnya, saya sendiri menghubungi Shabery bagi mendapatkan komen Tengku Razaleigh selanjutnya. Ini berikutan kenyataan balas Gabenor Bank Negara yang merumuskan :

“Sebenarnya lebih kukuh nilai ringgit, lebih banyak Bank Negara menanggung kerugian kerana rizab kita dalam ringgit akan jatuh.” Tan Sri Jaffar Hussien juga berkata, kerugian RM9.3 bilion itu adalah dari segi nilaian atas kertas dan bukannya kerugian mata wang nyata. Kerugian itu, katanya, berpunca dari kedudukan nilai ringgit, kos pengendalian inflasi yang tinggi dan pergerakan turun naik kadar pertukaran mata wang yang meluas.

Ketika dihubungi Shabery memberitahu Tengku Razaleigh agak sibuk hari itu, ada mesyuarat penting dan menziarahi jenazah. Saya meminta Shabery sendiri memberi komentar.

“Nak jadikan tajuk muka depan lagi?” Saya tahu Shabery sebenarnya bergurau bila bertanya begitu.

“Kalau kenyataan Tengku, insya-Allah saya akan usahakan untuk tajuk utama. Tapi kalau you yang buat komen, kita akan pertimbangkan,” balas saya, juga bergurau. Bagaimanapun yang lebih penting bukan lagi tokoh yang memberi komen tetapi kekuatan hujah itu sendiri.

Masyarakat pembaca harus didedahkan dengan sejelas-jelasnya melalui Harakah maklumlah Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah di bawah takluk Menteri Kewangan.

Kenyataan Shabery dengan tajuk “Wang Rakyat Diperjudikan” saya pilih tajuk utama Harakah, 23 April.

Shabery mengakui bahawa kenaikan nilai ringgit boleh menjejaskan jumlah rizab negara tetapi sukar diterima akal kalau hanya beberapa peratus kenaikan ringgit berbanding dolar Amerika boleh mengeringkan langsung rizab negara. Serentak dengan itu, Shabery mengingatkan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim supaya “jangan berselindung di sebalik istilah-istilah ekonomi yang mengelirukan.”

“Anwar mesti mengakui punca terbesar kerugian adalah akibat permainan spekulasi mata wang asing yang gagal. Jelas, kerugian ini bukanlah atas kertas sahaja tetapi kerugian nyata yang ditanggung oleh rakyat jelata. Umat Islam terperanjat bagaimana Menteri Kewangan yang banyak bercakap tentang Islam boleh merestui permainan spekulasi seperti ini. Sedangkan secara jelas ia memperjudikan wang rakyat sebegitu banyak. Bahkan kami hairan kenapa beliau boleh merestui pendekatan Bank Negara yang amat merbahaya ini dan tidak mahu berterus-terang apabila ia menemui kegagalan,” tegas Shabery.

Shabery juga mempersoalkan alasan Gabenor Bank Negara : “Apakah semakin kukuh ekonomi bermakna semakin kering rizab kita. Kenapa pula Singapura dan Brunei yang berkembang ekonominya dan kukuh mata wangnya tidak mengalami kerugian teruk sepertimana yang dialami oleh Bank Negara. Apakah Kementerian Kewangan Malaysia ingin memperkenalkan teori baru ekonomi, iaitu semakin berkembang ekonomi bertambah susutlah rizab, dan tidak mustahil ia terus bankrap. Apakah ini juga bermakna semasa ringgit kita jatuh dahulu, rizab kita melambung naik lebih seratus peratus?”

Untuk Harakah berikutnya, ramai teman-teman bertanya : “Minggu ini nak lanyak Anwar lagi?

Cukuplah...Nanti kerana isu itu pula Anwar boleh jatuh.

Masalahnya bukan pasal hendak menjatuhkan Anwar dan menaikkan orang lain. Ini soal kebenaran. Kalau Anwar berada di pihak yang benar, Anwar tidak perlu melatah kepada akhbar sekecil Harakah. Di bawah Anwar sudah tersedia akhbar-akhbar besar, begitu juga TV3, apa yang ditakutkannya. Kalau Harakah buat kesilapan, Anwar boleh tegur.

Bagi keluaran Harakah 26 April, kami memilih isu kerugian Bank Negara juga. Saya memberitahu teman-teman di Harakah : “Kalau ada isu besar yang kita tangani, kita mesti buat sungguh-sungguh, sehingga pihak bertanggungjawab memberi reaksi. Jangan asal tangkap muat sahaja.”

Kebetulan pula Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr. Syed Hussin Ali memberi reaksi yang sama dalam isu ini. Tanpa ragu-ragu lagi ia dipilih untuk menghiasi tajuk depan Harakah iaitu “Bank Negara Kalah Judi”, dengan tajuk kecilnya “PM didesak lucutkan jawatan Menteri Kewangan”.

Saya sendiri menghubungi Dr. Syed Hussin bagi mendapatkan maklumat lanjut berdasarkan kenyataan yang difaxkan ke Harakah.

Agak lama juga Dr. Syed Hussin menjelaskan, melalui telefon, dan hati saya berdetik : “Patutlah ramai orang tidak faham isu ini.”

Menurut Dr. Syed Hussin, Bank Negara seharusnya prudent (berhati-hati) dalam setiap kegiatannya dan semestinya sama sekali tidak terbabit dengan perjudian simpanan asing yang boleh membawa risiko kerugian yang cukup besar. Beliau menyamakan istilah spekulasi dengan perjudian.

Tindakan Bank Negara, menurutnya, akan menjejaskan kestabilan kewangan dalam jangka panjang kerana wang simpanan luar adalah sandaran atau jaminan kepada wang ringgit yang beredar dalam negara. Jika nilai sandaran itu jatuh, ia boleh menjejaskan kestabilan ringgit.

Dr. Syed Hussin berpendapat Bank Negara, yang di bawah kawalan Kementeriab Kewangan, sepatutnya mengawasi semua kegiatan bank dalam negeri supaya tidak terlibat dalam spekulasi / perjudian secara besar-besaran. Malangnya Bank Negara yang bertindak sebagai pengawas itu sendiri terlibat dalam spekulasi / perjudian :

“Jadi, siapakah pula yang akan mengawasi pengawas. Kami harapkan pagar yang menyelamatkan padi, rupanya pagar yang makan padi. Aneh sekali bagaimana Anwar yang dahulunya terkenal sebagai pejuang Islam melibatkan dirinya dengan judi besar-besaran seumpama ini”.

“Kami mempunyai maklumat bahawa pada tahun 1991 Bank Negara menugaskan seorang pegawainya menjalankan kegiatan spekulasi dengan menggunakan simpanan luar. Khabarnya keuntungan kira-kira satu bilion diperolehi. Digalakkan oleh kejayaan ini, pegawai tersebut diberikan kebebasan untuk meneruskan kegiatan judi ini dalam tahun 1992. Kami percaya banyak simpanan luar digunakan untuk membeli wang paun. Dalam tahun 1992 nilai paun turun dengan teruk sekali. Ini sebabnya kerugian yang kita tanggung begitu besar. Sekiranya yang dibeli ialah wang Amerika, kerugian mungkin tidak sebesar itu, sebab dalam tahun 1992 nilai wang Amerika turun kira-kira lima peratus saja, berbanding wang Malaysia. Kami mendapat tahu bahawa akibat kerugian ini pegawai berkenaan telah dipindahkan jawatan serta tugasnya. Ini tidak memadai. Sepatutnya kerajaan hendaklah mengambil tanggungjawab penuh dan meminta supaya Menteri Kewangan meletakkan jawatan, sekiranya beliau sendiri tidak hendak berbuat demikian secara sukarela. Bukankah Menteri Kewangan memperlihatkan kecuaian dan ketidakcekapannya?” tegas Dr. Syed Hussin.

Beliau seterusnya berkata jumlah RM 9.3 bilion yang lesap itu bukan kecil. Untuk memahami betapa besarnya, boleh kita bayangkan apa yang boleh kita buat dengannya. Misalnya, kita boleh mendirikan 18 buah universiti dengan harga RM500 juta sebuah, atau 45 buah hospital berharga RM200 juta sebuah, atau 180 buah sekolah berharga RM50 juta sebuah ataupun 372,000 buah rumah berharga RM25,000 sebuah. Sekiranya hendak digunakan untuk membayar bonus kepada 800,000 kakitangan kerajaan, sebagaimana yang dituntut oleh CEUPACS, maka tiap-tiap seorang pekerja boleh diberikan RM12,000.

Bayangan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang menganggarkan kerugian Bank Negara boleh mencapai RM16,000 juta. Ketika berceramah di Kuching, pada 29 Mei 1993 lebih menarik :

“Jika seseorang itu memenangi loteri yang menawarkan hadiah RM2 juta sehari, untuk mendapat wang sebanyak RM16 bilion, dia perlu menang loteri tersebut setiap hari selama 8,000 hari berturut-turut ataupun selama 22 tahun!”

Mengenai dakwaan Gabenor Bank Negara bahawa kerugian itu Cuma atas kertas sahaja, Dr. Syed Hussin berkata, “entahlah, kalau-kalau kerana wang selalunya dibuat dari kertas.”

Di Parlimen, Selasa, 27 April 1993, Kit Siang menegaskan : “Selaku Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim mesti menerima tanggungjawab persendirian sepenuhnya kerana kerugian pertukaran asing Bank Negara ini. Rakyat berhak mengetahui sebab dan saiz berbagai kerugian pertukaran asing yang dialami oleh Bank Negara, berkenaan jumlah kerugian yang disebabkan oleh pembendungan inflasi dalam menyerap liquiditi, penilaian semula pegangan mata wang asing dan kenaikan nilai ringgit dan kerugian hasil daripada perniagaan dan spekulasi mata wang asing.”

Walaupun Anwar menafikan dakwaan bahawa Bank Negara telah terlibat dalam aktiviti spekulasi dalam pasaran pertukaran asing kenyataan itu ditolak oleh Kit Siang. Pada 1989, dilaporkan Bank Negara telahpun dikritik oleh pegawai kewangan Barat kerana spekulasi dalam mata wang yen dan dollar Amerika pada masa Kumpulan Tujuh negara industri cuba menstabilkan pasaran mata wang.

Pada April 1991, Reuter menyifatkan Bank Negara sebagai “suatu kuasa dominasi di kancah pertukaran asing untuk beberapa tahun” dan malah menuduh beberapa pengendali pertukaran asing sebagai “penjahat pasaran”.

Laporan tersebut memetik kenyataan peniaga di London sebagai berkata, Bank Negara” selama ini adalah pemain pasaran yang terbesar, meniagakan jumlah pertukaran asig yang jauh melebihi mana-mana pemain dalam pasaran”.

Mengenai dakwaan Tan Sri Jaffar Hussien bahawa semua kerugian pertukaran asing Bank Negara hanyalah “kerugian di atas kertas”, Kit Siang mempersoalkan “Adakah beliau berkata semua keuntungan pertukaran asing yang diperolehi oleh Bank Negara pada Jun 1985 adalah juga “kerugian di atas kertas” sahaja?”

Seterusnya Kit Siang berhujah : “Jika Bank Negara telah mengalami kerugian di antara RM6.9 bilion dan RM9.7 bilion kerana aktiviti spekulasi dalam pasaran pertukaran asing, maka rakyat Malaysia berhak menuntut penjelasan yang sepenuhnya, kerana nyata sekali Bank Negara telah melampaui bidang kuasanya sebagai bank pusat dalam kegagalan bertindak dengan cermat sebagaimana yang dikehendaki.”

Bank Negara mengalami kerugian pertukaran asing yang besar semasa krisis mata wang dalam mekanisme kadar pertukaran Eropah susulan penolakan Masstricht Treaty on European Monetary Union dalam pungutan suara Denmark pada 2 Jun 1992, yang memaksa penggantungan pound sterling dari Exchange Rate Mechanism (ERM) of the European Monetary System (EMS).

Akibatnya ringgit mencatatkan kenaikan nilai yang paling besar berbanding dengan pound sterling, iaitu sebanyak 29.1 peratus. Adalah dilaporkan bahawa Bank of England telah membelanjakan berbilion-bilion paun untuk mempertahankan paun British pada masa itu.

“Yang ini sememangnya boleh difahami tetapi mengapa Bank Negara juga mahu selamatkan pound sterling?” tegas Kit Siang, disambut tepukan bergemuruh ahli-ahli Parlimen.

“Mengapa Bank Negara juga menukar berbilion-bilion atau berpuluh-puluh bilion ringgit kepada pound sterling untuk membantu mempertahankan pound British? Adakah kerajaan Malaysia sudah mengubah sikapnya dari dasar “Buy British Last” kepada Defend British First” – “Safe British First” dengan ringgit-ringgit wang rakyat Malaysia. Saya tidak percaya bahawa serbuan Bank Negara memberi pound yang merugikan tersebut semasa krisis mata wang sterling adalah kerana Perdana Menteri kita mahu selamatkan John Mayor – Mahathir to rescue John Mayor – dan paun British. Tetapi kerana Bank Negara berharap mengaut keuntungan yang besar dengan mengambil pendirian membeli untuk jangka panjang mengharapkan pound pulih kedudukannya dengan sokongan kerajaan British, “ hujah Kit Siang.

Tambahnya lagi, dengan tiadanya penjelasan yang memuaskan dan yang dapat diterima oleh kerugian pertukaran asing Bank Negara, keyakinan awam ke atas Bank Negara dan kerajaan akan terjejas.

” Yang Berhormat Menteri Kewangan telah menyatakan sokongan beliau kepada prinsip akauntabiliti, pertanggungjawapan dan transparensi pegawai-pegawai sektor awam. Dan ini adalah satu kes ujian sama ada beliau benar-benar berkepercayaan dalam prinsip-prinsp ini, dengan meminta kabinet menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kerugian pertukaran asing Bank Negara, “tegas Kit Siang.

Dalam jawapan balasnya, Anwar mempersoalkan jumlah kerugian yang diberikan oleh Kit Siang, Anwar mendakwa Kit Siang mengira dua kali. Mengenai pertanyaan Kit Siang bahawa kenapa bila rugi dikatakan rugi atas kertas, tetapi bila untung, memang sebenarnya untung, Anwar berkata :

“Bila untung, untung itu dipulihkan sebagai cash dipindahkan ke dalam negara, dibayar kepada kerajaan. Sebab itu untung ini in cash terms. Rugi yang disebut oleh Gabenor Bank Negara sebagai paper loss itu, rugi masih atas kemerosotan nilai yang masih dirizab.”

Anwar seterusnya memberi contoh : “Umpamanya kalau Ahli Yang Berhormat dari Tanjong ada US$1 juta, mungkin lebih, di simpan di New York, rugi itu in ringgit terms, sebab nilai ringgit bertambah. Jadi, US$1 juta masih kekal US$1 juta, tetapi apabila dari segi ringgit sudah merosot lapan peratus atau sembilan peratus, tengok kepada tempohnya. Ini basic economic, saya hendak beri kuliah sedikit. “

Dalam jawapannya itu, Anwar sempat juga menyerang Harakah : “Saya tahu, Harakah pun banyak isu, saya sekarang popular kerana front page headline, every week, every issue.

Bagaimanapun jawapan panjang lebar Anwar itu memerangkap dirinya. Esoknya, tepat jam 3.38 petang Lim Kit Siang – setelah merakamkan penghargaan kepada jawapan Anwar – berkata :

“Saya juga mesti mencatatkan kehampaan saya yang amat sangat dengan kenyataan beliau (Anwar) yang bukan merupakan jawapan kepada ucapan saya. Kita boleh sebut ia sebagai non-reply..... Yang Berhormat Menteri Kewangan bersungguh-sungguh mengelakkan diri dari memberi jawapan sehingga habis tempoh 30 minit yang diperuntukkan untuk beliau. Kenyataan itu.....hanya memperkukuhkan kesangsian bahawa kerajaan mempunyai banyak perkara yang terpaksa disembunyikan atau dengan izin swept under the carpet.....Hakikat yang sebenarnya ialah beliau (Anwar) telah membangkitkan lebih banyak soalan daripada menjawab.”

Selanjutnya Kit Siang membidas gaya Anwar yang tidak bersedia membaca teks ucapan yang disediakan supaya dapat gambaran beliau membuat pembentangan dengan spontan bagi mempamerkan kehebatannya dalam perkara tersebut.

“Tetapi malang sekali, terdapat kesilapan-kesilapan dalam perhubungan dengan pihak dan akibatnya ialah, pemberitaan yang panjang lebar kepada ucapan Yang Berhormat Menteri di Parlimen kelmarin sebagaimana yang tersiar dalam sebuah akhbar tempatan – yang ada disebut berkait rapat dengan beliau – amat berbeza dengan ucapan spontan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan yang disampaikan di Dewan Rakyat,” ujar Kit Siang.

“Saya tidak ada bantahan jika Yang Berhormat Menteri ingin memberi ucapan spontan yang telah disediakan terlebih dahulu tetapi dengan syarat beliau dapat membuat pengubahsuaian berdasarkan apa yang telah saya katakan sebelum beliau berucap. Malang sekali Yang Berhormat Menteri tidak dapat berbuat demikian dan inilah sebabnya beliau terpaksa membuat kenyataan dan andaian dan tuduhan yang tidak akan beliau lakukan sekiranya beliau mengikuti dan memahami ucapan saya terlebih dahulu. Misalnya, dalam ucapan Yang Berhormat Menteri, beliau mengejek saya kerana meminta butir-butir terperinci rizab Bank Negara dalam berbagai mata wang asing dengan mengatakan bahawa ia bukanlah “skim kutu kampung” untuk diketahui umum. Sebenarnya saya tidak pernah meminta butir-butir terperinci komposisi rizab asing Bank Negara. Apa yang saya minta ialah butir-butir terperinci kerugian pertukaran asing. Saya berharap Yang Berhormat Menteri faham bahawa terdapat perbezaan di antara dua jenis butiran ini, “ tambah Kit Siang.

Mengenai tuduhan Anwar bahawa beliau menghitung dua kali mengenai jumlah kerugian lain-lain rizab Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion, Kit Siang berkata :

“Saya tidak dapat memahami logik Yang Berhormat Menteri Kewangan dan saya akan berasa amat terkejut jika Gabenor Bank Negara masih menegaskan bahawa lain-lain rizab pada tahun lalu ialah RM9.3 bilion dan bukan RM10.1 bilion. “

Seterusnya Kit Siang merumuskan : “Malah seorang murid sekolah pun dapat memerhati bahawa lain-lain rizab Bank Negara telah kerugian RM10.1 bilion.”

Dalam hal ini Dr. Jomo juga bersetuju dengan hujah Kit Siang. Dalam huraiannya kepada Harakah Dr Jomo mencatatkan :

“Perhatian umum di negara kita setakat ini lebih tertumpu kepada pengurangan sebanyak RM9.3 bilion dalam lain-lain rizab Bank Negara antara akhir tahun 1991 dan akhir tahun 1992. Namun, kalau diambil kira jumlah RM800 juta yang dipindahkan ke dalam lain-lain rizab sebenarnya berkurangan sebanyak RM10.1 bilion dalam tahun 1992. Bank Negara juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 bilion lagi untuk tanggungan-tanggungan kontijen – maksudnya, kerugian-kerugian yang dijangka berlaku akibat tindakan pada tahun 1992, sungguhpun masih belum berlaku. Misalnya, sekiranya bank tersebut membeli mata wang tertentu untuk masa depan dan berlakunya penurunan besar nilai mata wang tersebut berbanding ringgit. Oleh itu tidaklah salah kalau dikatakan kerugian sebenar ialaj RM12.8 bilion pada tahun 1992, sungguhpun setengah daripada kerugian itu masih belum pasti, ataupun apa yang dikatakan kerugian atas kertas.”

Dr. Jomo membuat beberapa anggaran tentang jenis kerugian yang ditanggung, iaitu selain spekulasi tukaran asing, antaranya ialah kos menyerap dan akibat kenaikan nilai ringgit. Untuk membendung inflasi, Bank Negara telah menyerap kecairan yang berlebihan.

Kecairan berlebihan ini muncul terutamanya kerana kemasukan modal jangka pendek dari luar negeri akibat kadar faedah Malaysia yang agak tinggi, terutamanya pada awal 1992. Pada 1992 saja, Bank Negara telah menyerap RM17.1 bilion daripada sistem bank dan RM6.7 bilion deposit-deposit lain. Kalau dijumlahkan dengan deposit-deposit sebelumnya, pada akhir 1992, Bank Negara mempunyai deposit bernilai RM40.6 bilion.

Menurut keterangan Bank Negara, deposit ini nampaknya dismpan oleh Bank Negara di bank-bank Amerika Syarikat pada kadar faedah 2.5 peratus setahun sedangkan ia perlu membayar kira-kira lapan peratus setahun kepada bank-bank dan lain-lain di Malaysia dan dengan demikian, menanggung kos perbezaannya sebanyak 5.5 peratus. Lain-lain dokumen Bank Negara menunjukkan kebanyakan daripada langkah menyerap itu hanya berlaku mulai suku kedua tahun 1992 yang bererti, deposit-deposit yang dipegang oleh Bank Negara tidak pun sampai setahun penuh.

Lagi pula, sesiapa biasa dengan pasaran tukaran asing akan mendapati bahawa margin sebanyak 5.5 peratus itu pada ketika itu amat besar. Sungguhpun dengan andaian maksimum demikian, kos maksimum seluruh operasi itu tidak mungkin melebihi RM2.2 bilion (iaitu RM0.055 x 40.6 bilion).

Dr. Jomo menjelaskan : “Seperti telah dijelaskan oleh Menteri Kewangan dan juga Gabenor Bank Negara, pengukuhan nilai ringgit pada 1992 mengakibatkan penurunan nilai rizab bank bila dihitung dalam wang ringgit. Laporan itu juga memberitahu ringgit kukuh sebanyak 5.6 peratus berbanding dengan longgokan komposit mata wang asing, yang mencerminkan rakan dagang lama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kerugian yang berlaku ke atas nilai deposit oleh kerana kenaikan nilai ringgit pada 1992 sepatutnya tidak lebih daripada RM2.3 (iaitu RM0.056 x 40.6 bilion), andaikata semua deposit itu telah ditukar menjadi tukaran asing (kemungkinan besar tidak semuanya ditukar). Ini bermakna langkah menyerap dan kenaikan nilai ringgit hanya boleh menyebabkan kerugian kurang dari RM4.5 bilion, bererti sejumlah RM8.3 bilion lagi masih belum dipertanggungjawabkan.”

Kit Siang juga menolak hujah Anwar bahawa oleh kerana kedudukan ekonomi negara kukuh, maka kita tidak harus khuatir akan kerugian pertukaran asing Bank Negara :

“Sekarang ini pasaran saham amat bullish dan meningkat dengan banyak kaunter yang berkaitan dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengepalai senarai saham yang amat aktif. Dan terdapat desas-desus bahawa pasaran saham yang hangat dan meningkat ini adalah berkaitan dengan tabung kempen dana war chess lebih kurang RM200 juta seorang pemimpin UMNO untuk pemilihan parti. Dan tentulah ia mencatat rekod. Tetapi adakah ini bererti kita harus menutup mata kita terhadap apa yang tidak sihat dan salah dalam pasaran saham.”

Mengulas suatu jawapan yang diberikan oleh Anwar, Kit Siang berkata :

“Imaginasi yang karut ini tidak boleh diterima langsung disebabkan ia adalah serupa dengan membandingkan seekor ayam dengan seekor itik. Yang Berhormat Menteri tidak memahami bahawa rizab asing adalah disebabkan oleh imbangan bayaran yang positif akibat pertumbuhan ekonomi negara sedangkan kenaikan atau kejatuhan lain-lain rizab adalahbergantung kepada prestasi Bank Negara. Kedua-dua ini tidak ada kaitan langsung.”

Ketua pembangkang itu kemudiannya menasihatkan Anwar supaya mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi antarabangsa daripada Setiausaha Parlimen ataupun Timbalan Menteri :

“Tetapi Setiausaha Parlimen (Kementerian Kewangan) yang merupakan seorang ahli ekonomi yang terlatih dan rujuklah kepada rencananya dalam Berita Harian, 24 April 1993. Dalam rencana ini, beliau telah menghiraukan dengan tepatnya bahawa tambahan dalam rizab bergantung kepada sama ada kita mempunyai pertimbangan bayaran yang positif yang bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.”

Anwar yang tidak pernah terlatih dalam bidang ekonomi tentunya mendapat pengajaran yang bermakna dalam isu, apatah lagi bila Kit Siang menegaskan :

“Adakah amat mengejutkan bahawa Yang Berhormat Menteri Kewangan nampaknya tidak memahami ekonomi antarabangsa yang asas ini sehingga saya bimbang bahawa Yang Berhormat Menteri sedang teraba-raba dalam kegelapan dan Malaysia memang mujur kerana tiada bencana kewangan besar yang berlaku sehingga kini. Yang Berhormat Menteri sepatutnya berhenti daripada mengelirukan orang ramai dengan mengatakan kerugian dalam rizab-rizab lain sebanyak RM10.1 bilion oleh Bank Negara tidak penting disebabkan ia boleh dioffset oleh lebihan sebanyak RM16.5 bilion dalam rizab asing"

Bukan sahaja ini adalah salah dalam ertikata ekonomi asas tetapi perbandingan secara selektif adalah amat salah dalam ertikata perakaunan sehingga mana-mana pelajar perakaunan tidak membuat kesilapan sedemikian rupa. Tidak hairanlah mengapa Gabenor Bank Negara dan juga seorang chartered accountant kelihatan begitu muram apabila Yang Berhormat Menteri membuat perbandingan ini dalam Parlimen semalam. Namun ini mencerminkan dengan buruknya penasihat-penasihat ekonomi dan perakaunannya sehingga tidak dapat mengajar dan membuatkannya (Anwar) memahami asas-asas dengan baik dan jelas.

“Ingin saya mencadangkan, demi kepentingan negara, agar beliau menukar penasihat-penasihat ekonomi dan perakaunannya. Saya juga berharap Yang Berhormat Menteri akan memberi penjelasan awam yang penuh dengan merujuk kepada semua perkara teknikal yang dibangkitkan secara bertanggungjawab dan janganlah ghairah berpolemik politik, “ tegas Kit Siang menutup ucapannya mengenai kerugian Bank Negara.

Dalam ucapan penggulungannya, pada 10 Mei 1993, Anwar mengulangi tuduhannya kepada pembangkang kerana terus mengira dua kali. Katanya, pelbagai pihak cuba membuat serkap jarang untuk menambah kekeliruan. Beliau tetap mempertahankan kemerosotan lain-lain rizab bernilai RM9.3 bilion dan bukannya RM10.1 bilion. Seterusnya Anwar menyifatkan kemerosotan itu berpunca dari gabungan beberapa faktor, antaranya ialah pengukuhan ringgit, kos mengawal inflasi turun naik mata wang antarabangsa dan lain-lain.

“Kita harus sedar bahawa kenaikan nilai ringgit, antara faktor yang menyebabkan kemerosotan nilai lain-lain rizab, telah membawa manfaat kepada rakyat dan negara amnya, “tegas Anwar.

Dari jawapannya itu, Anwar seolah-olah menegaskan Bank Negara akan terus berspekulasi dengan hujahnya :

“Ada yang berpendapat Bank Negara perlu mengambil sikap konservatif. Pandangan ini gagal melihat realiti sebenar. Bank Negara dan mana-mana bank pusat tidak perlu mengambil risiko untuk berdagang jika dasar pasif atau berdiam diri tidak mempunyai risikonya. Realitinya ialah berdagang dan tidak berdagang adalah dua pilihan yang membawa risiko masing-masing. Dengan berdagang, risikonya ialah ramalan dan unjuran yang dibuat dalam gerakan mata wang tidak tepat, justeru itu mengalami kerugian. Tetapi tidak berdagang juga bermakna menghadapi risiko kerugian akibat turun naik nilai antarabangsa mata wang dalam pegangan.”

Menyedari sebahagian jawapan Anwar itu ditujukan kepada tulisan Dr. Jomo, yang disiarkan dalam Harakah 10 Mei 1993, saya segera menghubungi Dr. Jomo, melalui telefon. Dr. Jomo menghabiskan masa lebih satu jam untuk memberi penjelasan dan beberapa contoh bagi memudhkan saya untuk memahaminya.

“Dasar Bank Negara, seperti yang ditegaskan oleh Anwar, salah dari segi Islam. Kita tidak dibenarkan berspekulasi. Kita tidak boleh membeli buah semasa pohon baru berbunga. Apa hujah Anwar membolehkan kita berspekulasi sebegitu rupa? Amat janggal apabila Bank Negara mengambil sikap untuk lebih berspekulasi dalam tukaran asing lebih daripada bank-bank perdagangan lain, “jelas Dr. Jomo.

Beliau mengulangi hujah yang pernah dikemukakan oleh Dr. Syed Hussin Ali : “Oleh kerana bank pusat pada pokoknya ialah mengawas, soalan yang timbul ialah siapakah yang akan mengawasi pengawas ini bila polisi-polisi yang tidak bijak dibiarkan berlaku"

Yang lebih dikesali oleh Dr. Jomo ialah jawapan Anwar itu menggambarkan tidak bersedia untuk mengaku kesilapan yang telah dilakukan, sebaliknya bertegas untuk meneruskan dasar yang silap itu. Mungkin ia terpaksa dilakukan untuk mendapatkan semula kerugian yang dialami tetapi yang pasti, menurut Dr. Jomo, ia tidak ada jaminan.

“Tapi harus diingat bahawa kita mungkin juga akan ditimpa kerugian yang lebih besar lagi,” tegasnya.

Walaupun Dr. Jomo mengakui bahawa dasar berspekulasi sebelum tahun 1992 sedikit sebanyak membawa keuntungan kepada Bank Negara tetapi “kerugian ini telah menghapuskan semua keuntungan itu kerana kerugian ini jauh lebih besar daripada keuntungan sebelumnya”.

Dalam kenyataan selepas itu, Dr. Jomo menegaskan : “Hanya kaki judi akan terus bertaruh dengan harapan menebus balik kerugiannya setakat tertentu. Dan barangkali kerugiannya akan terus bertambah walaupun mungkin terdapat ‘kemenangan’ sementara.”

Dalam tulisannya Dr Jomo berhujah konservatisme dalam soal-soal begini (spekulasi tukaran asing) bermakna kebijaksanaan dan tanggungjawab, bukannya menentang kemajuan :

“Memang diketahui Bank Negara tidak terlibat dengan begitu mendalam dengan perdagangan tukaran asing sebelum berlaku perubahan dalam Kementerian Kewangan dalam pucuk pimpinan bank itu sendiri pada pertengahan 1980-an.”

Rasanya Anwar menujukan ucapan kepada Dr Jomo bila beliau berkata : “Pihak tertentu menganggap bahawa berlaku perubahan besar dalam dasar pengurusan rizab sejak pertengahan tahun 80-an. Mungkin mereka yang berpendapat sedemikian terlalu ghairah untuk mempertahankan dasar sebelum pertengahan 80-an. Kenyataannya ialah Bank Negara meneruskan dasar yang sama iaitu meneruskan dasar berhemat. Bank Negara sebelum pertengahan 80-an tidak perlu berdagang dengan jumlah yang besar kerana jumlah rizab ketika itu adalah rendah, bahkan jauh lebih rendah dari hutang luar negara.”


Dalam jawapannya kepada saya, Dr Jomo menasihatkan supaya lebih baik ditekankan soal pucuk pimpinan Bank Negara, dan bukannya lebih tertumpu kepada Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Razaleigh. Sekiranya Tengku Razaleigh dibabitkan perbahasan mengenai isu penting ini tidak dapat dijalankan secara matang dan objektif.

Dr. Jomo memberitahu Bank Negara di bawah pimpinan Tun Ismail Ali dan Tan Sri Abdul Aziz Taha tidak pernah merestu spekulasi besar-besaran. Bagaimanapun apabila Tun Daim mengambil alih Kementerian Kewangan hal ini berubah. Tetapi ia tidak bermakna Anwar perlu meneruskan dasar Daim. Menurut Dr. Jomo, Anwar ada pilihan, sama ada melangsungkan dasar Daim ataupun mengambil sikap yang lebih bijaksana.

“Anwar sepatutnya tidak terikat dengan Daim dan boleh kembali mengikut apa yang telah dilakukan oleh Tun Ismail, “ tegas Dr. Jomo.

Menjawab dakwaan Anwar bahawa pembangkang membuat kiraan dua kali bagi menentukan kemerosotan lain-lain rizab, Dr. Jomo berkata :

“Anwar sendiri keliru dan kemudiannya mengelirukan Dewan Rakyat. Dari segi ini seolah-olah menunjukkan Anwar tidak boleh memahami matematik sekolah rendah!”

Dr. Jomo kemudiannya membuat sedikit pembetulan terhadap tulisannya di Harakah. Katanya :

“Saya telah menganggarkan kos menyerap wang asing yang masuk ke Malaysia, supaya tidak menyebabkan inflasi, tidak boleh melebihi RM2.2 ribu juta, sedangkan pengukuhan nilai ringgit boleh menyebabkan “kerugian atas kertas” sebanyak RM2.3 ribu juta. Maka, saya telah membuat kesimpulan bahawa baki kerugian sebanyak RM12.8 ribu juta – iaitu sekurang-kurangnya RM8.3 ribu juta – pasti disebabkan kerugian urus niaga mata wang asing. Saya juga telah mengatakan bahawa perubahan dalam cara kira-kira Bank Negara boleh menyembunyikan jumlah kerugian bank pusat itu pada tahun 1992, yang mungkin melebihi RM12.8 ribu juta, yang dianggarkan mengikut laporan rasminya. Nampaknya saya salah dari beberapa segi, dan oleh itu, patut memohon maaf dan memberi penjelasan"

Jomo seterusnya mengemukakan hujah majalah Far Eastern Economic Review, 13 Mei 1993 yang menegaskan mata wang asing yang diserap itu telah digunakan untuk membeli sterling British, yang mendatangkan kadar bunga lebih tinggi daripada kadar bunga di Malaysia.

Maka, Bank Negara tidak mengalami kos menyerap – seperti digambarkan oleh pihak berkuasa – tetapi sebaliknya, telah menikmati untung sementara daripada kelebihan kadar bunga berkenaan, walaupun akhirnya kerugian lebih tinggi kerana nilai mata wang sterling itu telah jatuh.

Menurut Review, sumber-sumber yang rapat dengan Kerajaan Malaysia telah mengakui bahawa lebih daripada 80 peratus dari jumlah kerugian RM12.8 ribu juta itu hilang di London, hampir semuanya akibat urus niaga mata wang asing yang melibatkan sterling. Ini bermakna sekurang-kurangnya RM10.2 ribu juta kehilangan akibat kejatuhan sterling yang mesti melibatkan pembelian sterling sekurang-kurang RM45 ribu juta! Kalaulah diuruskan secara bijaksana, mata wang asing yang dibeli oleh bank pusat sebuah sepatutnya mencerminkan rakan perdagangannya, tetapi hanya 4.0 peratus dari jumlah eksport Malaysia dan 3.4 peratus dari importnya pada 1992 melibatkan Britain.

Menurut majalah itu lagi, perubahan cara kira-kira Bank Negara disediakan bagi tahun 1992 telah menyebabkan pihak Ketua Audit Negara menolak kira-kira itu pada mulanya dan walaupun diterima kemudian, Ketua Audit Negara telah menasihatkan bank pusat supaya jangan terus berspekulasi dalam mata wang asing pada masa hadapan.

Dalam pada itu jawapan Anwar tentunya tidak dapat memuaskan sesiapa sahaja, apatah lagi Lim Kit Siang. Ketika membahaskan anggaran perbelanjaan tambahan 1992 dan 1993 sebanyak RM5.6 bilion, pada 17 Mei 1993, Ketua Pembangkang itu jelas tidak lupa isu kerugian pertukaran asing.

“Apabila kerajaan minta Parlimen meluluskan anggaran perbelanjaan tambahan kepada apa yang diluluskan dalam belanjawan tahunan, kerajaan hendaklah memuaskan Parlimen dan negara bahawa ia telah berhati-hati dalam menguruskan wang perbelanjaan kerajaan, bahawa tiadanya pemborosan dan pembaziran, bahawa rasuah, amalan-amalan curang dan segala bentuk salah guna kuasa telah disekat, bahawa tahap kecekapan dan kompetet yang tinggi telah dipelihara, fan paling penting lagi, bahawa kerajaan telah mematuhi prinsip tanggungjawab, akauntabiliti dan transparensi.”

Maka dalam keadaan sedemikian, katanya, adalah lumrah untuk mengkaji permintaan kerajaan untuk anggaran perbenlajaan tambahan berjumlah RM5.6 bilion ini dalam ertikata kerugian pertukaran asing Bank Negara yang berjumlah RM10.1 bilion hingga RM12.8 bilion. Ini kerana kerajaan tidak perlu menanggung anggaran perbelanjaan tambahan sebanyak RM5.6 bilion sekiranya Bank Negara tidak mengalami kerugian yang begitu besar.

Beliau juga menghujahkan kembali kenyataan Anwar bahawa jika sekiranya Bank Negara menyimpan rizab wang asingnya dalam pasaran antarabangsa secara “selamat” dan tidak memperdagangkannya, “kita masih akan rugi besar disebabkan ringgit kita adalah kukuh”.

Kit Siang menjelaskan, Bank Negara sepatutnya rugi kira-kira RM3.2 bilion dalam mata wang asing akibat usahanya untuk memerangi inflasi dengan meresap pengaliran masuk wang asing dan juga disebabkan naiknya nilai ringgit serta penilaian semula pegangan mata wang asing. Akan tetapi ini tidak dapat menjelaskan kerugian pertukaran mata wang asing Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion hingga RM12.8 bilion.

“Kerugian pertukaran mata wang asing boleh berjumlah RM16 bilion sekiranya kita mengambil kira satu lagi perkara – penilaian semula pegangan emas Bank Negara pada tahun lalu. Ini adalah kali pertama Bank Negara dalam sejarah 33 tahunnya menilai semula pegangan emasnya dan adalah dianggarkan keuntungan kira-kira RM3 bilion dapat diperolehi akibat penilaian semula emas. Namun demikian, tiada angka mengenai penilaian semula pegangan emas kelihatan dalam kunci kira-kira Akaun Bank Negara untuk tahun 1992 dan sekiranya RM3 bilion ini juga telah hilang, ini akan bermakna bahawa jumlah kerugian pertukaran mata wang asing Bank Negara adalah dalam lingkungan RM16 bilion, “ jelasnya.

Oleh kerana Anwar gagal untuk memberi penjelasan yang memuaskan kepada Parlimen di atas kerugian pertukaran asing itu, Kit Siang menegaskan, Jawatankuasa Akaun Parlimen harus menjalankan satusiasatan khas mengenainya dan membentangkan laporan siasatan itu kepada Dewan Rakyat untuk perbahasan. Jawatankuasa Akaun Parlimen mempunyai kuasa untuk menyaman Gabenor Bank Negara, Tan Dri Jaffar Hussien dan Penasihat Bank Negara yang bertanggungjawab dalam urusan dan spekulasi pertukaran asing Bank Negara untuk memberi satu penjelasan yang penuh kepada kerugian itu.

Dalam siasatannya, Jawatankuasa Akaun Parlimen harus juga meminta perangkaan tentang kerugian pertukaran asing terkini yang dialami oleh Bank Negara dan kedudukan keuntungan dan kerugian tahunan urusan dan spekulasi pertukaran asing Bank Negara sejak pertengahan tahun 1980-an apabila Bank Negara pertama kali menjadi peserta aktif dalam pasaran pertukaran asing antarabangsa.

Satu ulasan yang menarik mengenai isu ini ialah artikel yang diterbitkan di dalam Dewan Masyarakat, Jun 1993 juga menegaskan kesangsiannya terhadap kenaikan nilai ringgit yang dikatakan punca utama kerugian Bank Negara. Saya menyifatkan menarik kerana ia diterbitkan oleh sebuah agensi kerajaan.

Dan bagi mereka yang agak sangsi dengan pendirian Dr. Jomo, apatah lagi Lim Kit Siang boleh memerhatikan hujah, (tapi perhatikan bagaimana kiraan dibuat) penulis artikel “Kerugian Atas Kertas Atau Kegagalan Spekulasi?”, Nawi Abdullah :

“Sepanjang tahun 1992 purata kenaikan nilai ringgit meningkat sebanyak 4.6 peratus. Ini bermakna, Malaysia akan mengalami kerugian sebanyak 4.6 peratus daripada nilai pertukaran asing akibat daripada kenaikan tersebut. Dengan kenaikan tersebut, Malaysia akan hanya mengalami kerugian sebanyak RM462.43 juta (RM10,053 juta [rizab 1991] x 4.6 peratus). Katakan belanja untuk membendung inflasi ialah sebanyak 4.8 peratus maka belanja untuk mengawal inflasi ialah sebanyak RM482.544 juta (4.8 peratus daripada RM10,053 juta). Begitu juga, akibat daripada kemasukan nilai dolar AS, terdapat perbezaaan margin keuntungan yang negatif sebanyak 5.5 peratus yang terpaksa ditanggung oleh Bank Negara. Jadi kerugian akibat daripada margin ini ialah sebanyak RM552.91 juta (RM10,053 juta x 5.5 peratus)"

“Daripada fakta ini menunjukkan negara hanya akan mengalami kurangan dalam rizab asing sebanyak RM1,497.884 akibat kerugian daripada kenaikan ringgit dan mengawal inflasi serta margin kerugian. Ini terjadi akibat daripada pegangan dollar AS kerana kemasukan pelaburan asing yang meningkat dalam bentuk dolar bagi tahun 1992......Ada ahli ekonomi yang berpendapat bahawa kerugian itu disebabkan oleh kegagalan permainan spekulasi mata wang asing. Kunci kira-kira yang ditunjukkan oleh Bank Negara menunjukkan rizab yang merosot daripada RM10,043 juta. Pada tahun 1991 kepada RM752 juta pada akhir tahun kewangan 1992. ini bermakna negara mengalami kejatuhan sebanyak 92.5 peratus daripada pertukaran asing negara dalam masa cuma satu tahun!”

Seterusnya tulisan Dewan Masyarakat itu bersetuju bahawa Bank Negara telah mendedahkan kedudukannya kepada risiko yang tinggi akibat terlalu aktif berspekulasi atau berjudi!

Ketika saya menyusun kembali tulisan ini, saya terpandang ruangan Inside, Sunday Star, halaman pertama, 27 Jun 1993 yang menonjolkan amaran Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad tentang kegiatan spekulasi di Bursa Saham Kuala Lumpur, di halaman ketiga.

Ya, apa yang dicatatkan dalam ruangan itu, sebagai ringkasan kenyataan PM mengenai spekulasi? Okey, saya catatkan, khusus buat Anwar : “Gambling on shares. The Prime Minister said some people will get their fingers burnt if they gambled in the stock market.


Baca juga : anwar dan teori konspirasi - ibrahim ali

Sumber : http://aidc-editor.blogspot.com/2008/09/ketika-anwar-menteri-kewangan-bank.html

Read more...

Anwar dan Teori Konspirasi - Ibrahim Ali

>> 12 Mac 2009



Ahmad Lutfi Othman

Nota: Rencana ini dipetik daripada buku yang ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, Penerbitan Pemuda, 1998. Tajuk asal rencana itu adalah "Ibrahim Ali : Nak Upah Orang Bukan Perkara Mudah". Ahmad Lutfi sekarang ini Ketua Pengarang Harakah.


Macam-macam pandangan yang dikemukakan terhadap isu pemecatan Anwar. Tidak ramai percaya ia hanya disebabkan masalah moral. Orang lebih suka melihatnya sebagai konspirasi politik peringkat tertinggi, termasuk Mahathir, untuk menyingkirkan Anwar. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ibrahim Ali tentunya mempunyai pandangan tersendiri dalam hal ini. Rosmida Abdul Rahman sempat menemubual beliau dipejabatnya, di Bangunan UOA Centre Kuala Lumpur, pada 29 September 1998.

Rosmida : Umumnya tanggapan masyarakat bukan mempertikaikan hak Perdana Menteri untuk melucutkan jawatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atau hak ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO yang memecat keahlian UMNO Anwar. Mereka sama sekali tidak boleh menerima, kalaupun mungkin disyakki Anwar melakukan salah laku seks yang melampau itu, mengapa ia dihebohkan begitu sekali, khususnya melalui afidavit berkaitan Nallakarupan.

Ibrahim : Masalah yang berkaitan isu Anwar Ibrahim boleh dilihat dari dua sudut. Satu, sudut politik dan lagi satu perundangan. Dalam UMNO, ada kaedah dan peraturan disiplin tersendiri. Maka mana-mana ahli pun tertakluk kepada disiplin ini. Begitu juga dengan parti-parti lain. Parti berhak mengambil disiplin ke atas mana-mana ahli yang difikirkan perlu diambil tindakan. Lebih-lebih lagi yang boleh menjejaskan atau merosakkan nama baik parti.

Begitu juga kita sebagai warganegara, rakyat atau masyarakat, yang hidup dalam sebuah negara yang mempunyai undang-undang. Dalam hal ini, rakyat juga tidak terkecuali dalam undang-undang, hatta raja pun....tiada siapa yang kebal dengan undang-undang. Begitulah dalam kes Anwar ini. Dari aspek politik, UMNO tidak mengira kedudukan ahli-ahlinya untuk diambil tindakan. Di dalam perlembagaan UMNO pula, jika selepas parti membuat sesuatu keputusan, ia tidak boleh dirujuk kepada mahkamah. Sebabnya, sesiapa yang merujuk kepada mahkamah automatik akan terlucut keahliannya. Mengapa kita buat begitu?

Ini adalah kaedah parti.samalah seperti PAS dan DAP, masing-masing ada disiplin tersendiri. Dalam sesetengah kes, ahli-ahlinya juga dipecat tanpa perlu merujuk terlebih dahulu ke mahkamah. Ini bermakna dalam konteks parti masing-masing ada pertimbangan dan perkiraan sendiri.

Sebab itu ketika Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, beliau sendiri banyak mengendalikan kes memecat atau menggantung ahli-ahli tanpa merujuk kepada mahkamah. Tiada perbicaraan di mahkamah pun. Samalah prinsip ini yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi terhadap Anwar Ibrahim sekarang.

Begitu juga dari segi perundangan, proses keadilan telah dipatuhi untuk mendakwa Anwar Ibrahim ke mahkamah. Ia berdasarkan laporan lapis dan apabila disiasat terdapat prima facie. Namun kes ini agak lewat ke mahkamah kerana banyak gangguan. Ini kerana ada pihak tertentu cuba hendak menganggu perjalanan proses keadilan di mahkamah.

Contohnya, pihak tertentu mengadakan perhimpunan dan tunjuk perasaan yang boleh ditakrifkan seolah-olah hendak menganggu proses mahkamah. Bagaimanapun Anwar Ibrahim sudah didakwa oleh mahkamah pada pagi ini dengan 10 tuduhan. Cuma tinggal lagi, isu yang sering dipersoalkan, mengapa Anwar dipecat oleh Dr. Mahathir dan Majlis Tertinggi UMNO? Ramai yang mempertikaikan tentang saksi. Sebab itu dalam soal ini pelbagai pertanyaan dan persoalan timbul. Walaupun kita mempunyai undang-undang dan peraturan, tetapi kebijaksanaan juga penting dalam menangani setiap isu.

Bukankan kes Anwar Ibrahim ini rumit dan pertuduhan terhadapnya amat sukar untuk diterima terhadapnya amat sukar untuk diterima oleh masyarakat, bahawa orang seperti Anwar boleh melakukannya.

Ya. Memanglah Anwar Ibrahim seorang Timbalan Presiden UMNO dan juga Timbalan Perdana Menteri dan menggunakan label Islam sudah begitu lama. Dia sering bercakap soal moral dan akhlak, malah mempunyai pengaruh dan kedudukan. Sudah tentulah perkara ini sesuatu yang rumit. Hendak menjalankan proses undang-undang pun rumit. Malah untuk meyakinkan orang, lagilah rumit.

Namun kita melihat Dr. Mahathir sebagai seorang pemimpin parti dan kerajaan tentunya mempunyai maklumat dan bukti. Begitu juga kalau perkara yang sama dihadapi Presiden PAS. Dia tahu ahlinya buat salah. Dan sebagai Presiden, dia berhak mengambil tindakan menyelamatkan partinya, tanpa perlu merujuk ke mahkamah. Begitu juga dengan Dr. Mahathir, sebagai Perdana Menteri, beliau berkuasa untuk memecat atau melantik mana-mana menteri kabinetnya. Hatta Timbalan Perdana Menteri sekalipun.

Pemecatan dan perlantikan kabinet ini bukan perkara baru. Ketika zaman Tunku Abdul Rahman, beliau memecat Aziz Ishak, seorang tokoh popular ketika itu. Tun Hussien Onn pula memecat dan mendakwa Dato’ Harun Idris yang cukup popular. Kemudian pada era Dr. Mahathir, kes Anwar ini bukan baru. Naib Presiden UMNO, Muhammad Taib diminta berhenti sebagai Menteri Besar Selangor.

Manakala Rahim Thamby Chik dinasihatkan bercuti sebagai Ketua Pemuda UMNO dan berundur dari jawatan Ketua Menteri Melaka. Dan Dr. Mahathir sendiri tahu rakyat sering mendaulatkan konsep bersih, cekap dan amanah. Tetapi masalahnya sekarang, semasa kerajaan menerapkan konsep tersebut, ada pula gangguan. Walhal kuasa pemecatan dan perlantikan oleh Perdana Menteri berlaku di mana sahaja. Contohnya, di Rusia, Presidennya bukan sahaja memecat Perdana Menteri, tetapi seluruh anggota kabinetnya.

Di New Zealand, seorang Perdana Menteri wanita memecat timbalannya, seorang lelaki. Sultan Brunei memecat adiknya sendiri yang menjadi Menteri Kewangan. Dalam hal ini, ia tidak melibatkan perbicaraan apa pun.

Apakah seorang Perdana Menteri boleh begitu mudah sekali memecat timbalannya?

Dalam kes Anwar Ibrahim ini, bukannya Perdana Menteri sengaja suka-suka hendak memecatnya. Dr. Mahathir tahu Anwar Ibrahim ada kes. Ia hasil siasatan polis dari buku 50 Dalil, misalnya kes meliwat.

Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri telah menasihatkan Anwar supaya meletakkan jawatan. Jika Anwar letak jawatan tidak timbul soal beliau dipecat. Mengapa Perdana Menteri menyuruh Anwar letak jawatan? Ini kerana Anwar sudah ada kes di tangan polis dan jabatan peguam negara. Apabila dihadapkan ke mahkamah, dan Anwar tidak dipecat atau meletakkan jawatan secara sukarela, imej kerajaan dan UMNO tercemar. Sebab yang dibicarakan ketika itu ialah seorang TPM merangkap Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO.

Cuba kita lihat kes Muhammad Taib. Beliau memberi kerjasama. Apabila Perdana Menteri meminta letak jawatan beliau akur. Begitu juga dengan Rahim Thamby Chik, dia tetap akur. Tetapi Anwar enggan bekerjasama. Bagi membolehkan beliau membersihkan dirinya di mahkamah tanpa membabitkan nama baik kerajaan dan UMNO, maka Perdana Menteri wajar memecatnya. Apabila pemecatan dibuat, Dr. Mahathir mesti membuktikan kepada rakyat mengapa Anwar dipecat. Waktu inilah afidavit dikeluarkan.

Bagi saya, tindakan yang Dr. Mahathir mesti membuktikan kepada rakyat mengapa Anwar dipecat. Waktu inilah afidavit dikeluarkan. Bagi saya, tindakan yang Dr. Mahathir lakukan ini adalah betul.

Bagi mereka yang mempunyai kepentingan tertentu dan ada sentimen politik yang tinggi maka dikeluarkan pelbagai pandangan dan tafsiran. Justeru, dipersoalkan proses keadilan, kebebasan mahkamah dan kehadiran saksi. Cuba kaji dengan teliti sejauhmana proses perundangan dijalankan.

Bagi saya, sepatutnya Anwar yang digelar pemimpin Islam berwibawa sepatutnya sepatutnya menunjukkan teladan ketika menghadapi musibah. Jika yakin dirinya bersih, Anwar tidak perlu gelabah. Beliau tidak perlu mengeruhkan suasana. Jika seseorang itu tidak bersalah dan memiliki iman yang kuat, dia akan tetap mendapat perlindungan dari Allah. Suatu hari, kebenaran pasti akan berpihak kepadanya.

Itulah janji Allah. Sebagai orang Islam, sudah tentu kita yakin dengannya, apatah lagi orang seperti Anwar. Jika iman kita kukuh dan kita di pihak yang benar, datanglah apa sahaja fitnah yang melanda, ia dapat dirongkai dengan baik. Tapi Anwar nampaknya bertindak sesuka hati sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Dan Anwar menuduh kerajaan ini zalim, sedangkan sistem itulah yang beliau pertahankan selama 16 tahun ini. Begitu juga sistem mahkamah kita, pelbagai perkara dibangkitkan. Memang diakui ada kelemahannya, misalnya kes membabitkan Lim Guan Eng.

Jika betullah tuduhan UMNO melindungi pemimpin-pemimpinnya dan undang-undang hanya untuk orang tertentu, tetapi kini jelas pemimpin tertinggi UMNO juga dihadapkan ke mahkamah. Buktinya, antara lain, kes Sahar Arpan dan Waad Mansur. Mereka adalah anggota Exco kerajaan negeri. Dulu orang kata ikan bilis saja yang kena, ikan jerung terlepas. Anwar sendiri pernah cakap perkara ini. Sekarang apabila jerung sudah kena, mereka kata kita tak adil pula. Kemudian dituduh macam-macam. Saya beritahu secara ikhlas, sebagai seorang kawan yang kenal Anwar begitu lama, saya rasa hilang hormat langsung terhadapnya. Bukan masalah betul atau tidak dari segi tuduhan.

Tetapi hilang hormat saya kerana cara dan tindakan Anwar. Beliau banyak melakukan perkara yang betul-betul bertentangan. Saya boleh tunjukkan pelbagai bukti, misalnya soal menegakkan keadilan dalam parti. Bukankah Anwar bekas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO?

Beliau yang mengendalikan kes wang akaun wanita UMNO yang dikatakan hilang sehingga Anwar mengambil keputusan memecat Zainab Abu Bakar sebagai timbalan menteri dan ahli UMNO begitu sahaja. Tanpa ada sebarang pembelaan. Anwar tidak merujuk ke mahkamah walhal ia melibatkan kes duit. Begitu juga amalan politik dalam UMNO, penyokong kuatnya, walaupun dan terdapat tuduhan mereka, namun Anwar membiarkannya. Jelas, beliau benar-benar hipokrit. Saya kenal beliau sudah 30 tahun.

Kemudian soal nepotisme, saya boleh senaraikan adik-beradik Anwar, siapa Rani Ibrahim, Idrus Ibrahim, Rosli Ibrahim, Marzuki Ibrahim, malah bapanya Dato’ Ibrahim, dan juga bapa mertuanya sekali. Memanglah bapanya dulu berniaga sikit-sikit, tapi tak sehebat hari ini. Apakah saudara-saudaranya yang mengaut kekayaan itu memperolehinya begitu sahaja atau berdasarkan kemampuan sendiri, tanpa menggunakan platform Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Begitu juga dengan kroni Anwar, yang pernah bekerja di pejabatnya. Di manakah mereka sekarang? Ramai yang menjadi ahli korporat terkemuka walaupun tanpa pengalaman dan nilai keusahawanan tulen. Ada yang bergelar timbalan menteri. Misalnya, dulu siapa Kamaruddin Jaafar? Sekarang menjadi pengerusi beberapa syarikat terkemuka. Ahli-ahli yang UMNO, yang sudah berpuluh tahun berniaga, tidak sampai ke situ pun.

Sekarang masyarakat menpersoalkan rekod lama Mahathir mengenai sikapnya terhadap salah laku seks di kalangan pemimpin UMNO selama ini. Bukankah Dr. Mahathir boleh bertolak ansur dalam hal ini? Tiba-tiba saja kelihatan imej Dr. Mahathir berpegang teguh soal akhlak dan moral. Masyarakat jadi keliru.

Keliru macam mana? Dalam kes Rahim Tamby Chik, beliau telah dihukum dan dilucutkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Adakah selama ini Rahim dibawa balik sebagai Ketua Menteri Melaka?

Bagi saya, isu Anwar senang sahaja, tak perlulah cerita kes liwat dan pertuduhan yang lain. Apabila Anwar berkawan dengan Nalla, seorang taukeh judi, ia sudah cukup menghilangkan rasa hormat saya kepadanya.

Masyarakat pula begitu mudah menerima ia sebagai konspirasi politik. Bagi Anwar, apabila kesan terbongkar tentulah beliau akan mempertahankan dirinya dengan apa juga kaedah dan pendekatan. Takkan Anwar nak mengaku beliau berbuat jahat. Selama ini bergegar membaca khutbah, bercakap Islam, menyentuh soal moral.

Di Kelantan pun ada orang-orang yang mengaji agama mempergunakan anak murid untuk tujuan tersebut. Kalau nak sentuh bab liwat, ia bukan cerita baru. Tambah-tambah orang yang bercakap Islam tetapi mempunyai moral yang rendah. Selama ini masyarakat menganggap Anwar bersih dan tiada cacat celanya.

Bukankah kita diperingatkan Allah, bahawa tabiat manusia ini, mula-mula kelihatan baik tetapi apabila diberi kuasa pangkat, harta dan darjat sudah mula jadi gila. Mungkin Kementerian Kewangan itu berpuaka! Di situlah tempat menguruskan segala kewangan negara.

Berdasarkan pengalaman Dato’ yang pernah berhadapan dengan kes Tengku Razaleigh yang tersingkir dari UMNO pada tahun 1987, begitu juga dengan pemecatan Anwar sekarang, apa kaitan kes-kes ini.

Berbeza. Seperti Tengku Razaleigh Hamzah, beliau lawan Dr. Mahathir di dalam parti melalui pemilihan. Seterusnya mengalami kekalahan. Ada pihak membawa kes tersebut du mahkamah. Kemudian UMNO diisytiharkan tidak sah. Beliau tidak dibenarkan masuk UMNO ketika itu.

Maka Ku Li guna cara lain, mengisytiharkan parti baru. Beliau sendiri ada gagasan baru iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan saya sendiri turut terlibat pada awalnya. Dan kita kemukakan agenda. Dan kita lakukan mengikut proses undang-undang.

Kita tak suruh budak-budak muda tunjuk perasaan macam Anwar suruh. Menjerit-jerit di masjid, apatah lagi tuduhan pula kes meliwat. Kemudian melaung-laung takbir untuk bela Anwar. Perubahan sikap Anwar selepas dipecat cukup ketara, antaranya gelojoh dan emosional.

Anwar sendiri selalu memberitahu, apabila ditimpa musibah kita kena besabar dan berdoa banyak-banyak dengan Allah. Sepatutnya jika perkara ini fitnah, tidak perlulah menjerit-jerit.

Malah beliau boleh lakukan perjumpaan dengan Majlis Tertinggi memberitahu bahawa beliau tak puas hati. Kalau dah tak ada cara lain sangat, bersumpahlah secara Islam. Saya pelik, mengapa Anwar berasa takut untuk pergi ke mahkamah? Sama ada ia fitnah atau tidak, biar mahkamah tentukan. Orang lain pun pernah pergi mahkamah.

Apakah Anwar fikir dirinya istimewa sangat. Selepas mahkamah putuskan Anwar benar-benar dizalimi dengan fitnah yang hina itu, masa itu, hendak bakar bangunan di Kuala Lumpur, bakarlah (ketawa)!

Sebenarnya, apakah peristiwa yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, pada 3 September 1998. Bagaimana reaksi awal Anwar? Adakah pemecatan Anwar berdasarkan keputusan Dr. Mahathir semata-mata tanpa sanggahan dari anggota mesyuarat, khususnya penyokong Anwar?

Sebenarnya pemecatan tersebut berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi. Begini....mesyuarat Majlis Tertinggi dipanggil selepas sehari Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Apabila mesyuarat, sudah tentu pengerusi mesyuarat adalah Presiden parti.

Ia dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi, cuma dua orang sahaja tidak hadir iaitu Dato’ Abdullah Badawi yang berada di luar negara dan Nazri Aziz pula sedang bercuti. Maka Presiden pun membentangkan hal-hal berkaitan Anwar. Dan Anwar berada di sebelah kanan Presiden.

Dr. Mahathir menceritakan bagaimana beliau mula mendidik, membentuk dan menjaga Anwar kerana Anwar adalah penggantinya kelak. Semua cerita sedap-sedap belaka. Anwar naik dalam UMNO macam roket, pijak semua kepala orang (ketawa). Orang lain berpeluh berbelas-belas tahun....macam Ku Li.

Dr. Mahathir dulu pun pernah kena pecat selama dua tahun. Dr. Mahathir bercakap lebih kurang satu jam lebih. Kemudian barulah beliau bentangkan segala pertuduhan terhadap Anwar. Presiden ada mengatakan : ”Saya yakin Anwar ada kes meliwat.”
Kes lain tidak mengapa, tetapi kes meliwat, bagi Dr. Mahathir, amat berat. Katanya lagi, orang begini tidak boleh jadi Perdana Menteri.

Selain Dr. Mahthir memberi keterangan, maka Anwar diberi peluang bercakap. Anwar tidak menyebut kes tuduhan tersebut, sebaliknya mengatakan ia adalah konspirasi dan fitnah, dengan gaya penuh emosi sambil menumbuk-numbuk meja. Anwar bercakap selama satu jam.

Apakah hujah utama Anwar untuk mempertahankan dirinya dari pertuduhan tersebut?
Tidak ada! Anwar asyik menyebut konspirasi tak habis-habis. Kemudian perbincangan dibuka kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi pula. Pada awalnya orang lain diam, sayalah orang yang mula-mula bercakap.

Saya tegur Anwar : ”Apa you anwar? Angkuh dan sombong. Cara Dr. Mahathir layan you begitu baik sekali. Jawablah tuduhan tersebut dengan baik. Kalau begini caranya, you bukan pemimpinlah Anwar. Semua orang boleh tumbuk meja. Jangan ingat you seorang saja nak tunjuk garang. Saya pun garang juga.”

Apa lagi, saya pun tumbuk meja jugalah (ketawa). Saya nak dengar juga kalau-kalau Anwar nak bersumpah atau menjawab satu persatu pertuduhan terhadapnya. Tetapi Anwar menjawab dengan cukup rasional. Kemudian kenyataan-kenyataan beliau banyak bertentangan.

Pernah Anwar menyebut dengan kawan-kawannya bahawa beliau pernah pergi dua kali ke Tivoli Villa. Di dalam Majlis Tertinggi pula Anwar kata, dia tidak pernah pijak pun, walaupun sekali. Apabila Anwar tamat bercerita dan ahli lain habis bercakap, Dr. Mahathir suruh Anwar gulung pula ucapannya. Sebelum itu ada yang mencadangkan Anwar dipecat, digantung keahlian atau diberi cuti.

Akhir sekali, penggulungan dari Dr. Mahathir, dan beliau bertanya kepada Anwar, sama ada hendak tunggu atau keluar dari bilik mesyuarat itu. Anwar kata hendak keluar. Dan Dr. Mahathir membuat keputusan mengikut majoriti mengundi. Majoriti bersetuju Anwar dipecat sebagai ahli.

Tetapi berdasarkan beberapa cadangan tadi, maka undian dijalankan sekali lagi untuk mendapat keputusan yang tepat. Ini bermakna sebanyak dua kali undian dilakukan. Apa yang tidak adilnya? Dr. Mahathir dipecat dahulu tidak berpeluang membela diri. Zainab Abu Bakar dipecat begitu juga, tiada pembelaan diri.

Maknanya, Anwar diberi peluang membela diri secukupnya?

Ya. Anwar diberi peluang membela diri. Apa yang beliau hendak bising-bising selama ini? Saya tak tahulah nak cakap. Barulah saya tahu yang Anwar ini batu, bukannya permata. Namun yang mengecewakan hujahnya tiada berkaitan lansung dengan tuduhan.

Bagaimana reaksi Anwar apabila Dr. Mahathir membentangkan pertuduhannya?
Terlalu jelas....Memang nampak kebimbingan, panik dan keresahannya ketara. Saya sendiri melihat dari body language, Anwar memang dalam keadaan betul-betul gelisah. Sepatutnya Anwar tidak boleh menyalahkan dirinya sendiri. Anwar mengatakan, melalui kenyataannya, bahawa semua saksi dibayar. Anwar boleh kata apa sahajalah. Takkanlah orang buat salah hendak mengaku salah.

Reaksi Mahathir?

Kecewa dan sedih. Harapannya hancur. Beliau yang mendidik sepanjang pembabitan Anwar di dalam UMNO selama 16 tahun. Lagipun Mahathir sendiri sudah berumur 73 tahun, hanya menunggu masa untuk berhenti sahaja. Tiba-tiba Anwar buat hal sedemikian rupa. Sudah tentu Mahathir teramat sedih.

Bagaimana penerimaan dari ahli Majlis Tertinggi pula, adakah pada peringkat awalnya menemui kesukaran untuk menerima hal ini?

Masalahnya begini, sebelum ini tidak pernah lagi kita mendengar kes liwat. Kalau kes skandal perempuan tu biasalah. Lagipun skandal begini bukan perkara baru. Berlainan dalam kes ini, perkara meliwat belum berlaku di kalangan pemimpin. Kedua pula, tuduhan tersebut berlaku ke atas Anwar Ibrahim.

Saya amat faham, bagaimana sukarnya untuk masyarakat menerima perkara ini. Oleh yang demikian, berdasarkan bukti dan penerangan yang telah dilakukan dan respons Anwar yang mengecewakan, maka mereka buatlah penilaian sendiri.

Sejauhmana ketepatan maklumat yang diperolehi oleh Dr. Mahathir sehingga beliau betul-betul yakin terhadap salah laku Anwar Ibrahim?

Ya. Dr. Mahathir menceritakan bagaimana beliau memperolehi maklumat kepada Majlis Tertinggi. Sememangnya beliau sendiri ragu dengan siasatan memaksa beliau memanggil pihak-pihak yang terlibat pula dapat menjawab dengan baik dan betul. Antara saksi-saksi itu ialah Azizan Abu Bakar, bekas pemandu Anwar Ibrahim, pemandu Dato’ Nalla, Umi Hafilda Ali dan saksi yang lain.

Desas-desus mengatakan saks-saksi ini diupah?

Itulah...macam kes Sukma dan Dr. Munawar, orang kata diupah. Tolong ingat sikit.....nak upah orang bukan perkara mudah. Kalau nak hidup dengan hasil upah orang jangan ingat dapat hidup senang! Soal maruah, imej, harga diri nak letak mana? Lagi satu, masyarakat sering mengatakan konspirasi. Ingat nak rancang konspirasi? Ingat mudah Dr. Mahathir panggil Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah, seterusnya pegawai-pegawai polis yang terlibat?

Pegawai polis yang menyiasat adalah Musa Hassan? Beliau anak Ustaz Hassan Azahari dan abang kepada Fuad Hassan. Kalau nak tahu, Fuad Hassan adalah penyokong kuat Anwar tetapi beliau seorang sahaja yang tidak pergi ke rumah Anwar. Kemudian keluarlah pelbagai akhbar mengatakan lima, enam orang saksi tersebut diupah dengan tujuan menjatuhkan Anwar. Ingat sekarang? Jangan ingat kerja mengupah perkara senang. Tak mudahlah!

Bagaimana yang dikatakan konspirasi?

Konspirasi sebenarnya, bagi saya, orang bawah, dia tidak perlukan konspirasi. Contohnya, jika Mahathir tidak perlukan Anwar lagi, beliau tidak perlu ada konspirasi. Contohnya, jika Mahathir tidak perlukan konspirasi. Dia ada kuasa untuk pecat Anwar bila-bila masa. Tetapi jika Anwar yang melakukan konspirasi, ia mungkin betul. Misalnya, bagaimana beliau menjatuhkan Tun Ghafar. Tetapi siapa yang nampak perkara begini?

Umumnya curiga tentang proses keadilan yang dilaksanakan, misalnya dalam kes mahkamah membabitkan adik angkat Anwar Sukma dan bekas penulis ucapannya. Dr. Munawar. Daripada pengakuan bersalah mereka, cara bagaimana dipilih peguambela, hujah peguambela yang mengelirukan, dan macam-macam lagi.

Memanglah. Sebab kedua-duanya mengaku. Asalnya saya difahamkan, Dr. Munawar ditangkap atas tuduhan disyaki sebagai agen tali barut luar. Apabila disoalsiasat, saya dapat tahu, Dr. Munawar sendiri secara sukarela mendedahkan perkara liwatnya dengan Anwar. Apabila beliau sudah mengaku dan tandatangan, kemudian Dr. Munawar didakwa ke mahkamah. Beliau mengaku, jadi tidak ada bicara.

Khabarnya Dato’ mula rapat dengan Anwar, ketika zaman kebangkitan pelajar di kampus awal tahun 70-an dulu. Kehebatan Anwar lebih menyinar apabila ditahan ISA pada tahun 1974 kerana memperjuangkan isu kemiskinan rakyat bawahan. Apakah kehebatan Anwar dari kacamata Dato’?

Ikhlas saya beritahu, memang saya cukup mengagumi Anwar Ibrahim daripada zaman pelajar sehinggalah beliau bergiat dalam ABIM. Walaupun saya adalah antara individu yang menyokongnya, malah mengakui kehebatannya, tetapi saya bukan ibarat lembu dicucuk hidung. Kadang-kadang kami juga bertentangan pendapat. Saya mengakui pada tahun 1978, berlaku krisis dalam PAS, dan kefahaman politik kami berbeza.

Ketika Allahyarham Dato’ Asri memecat Dato’ Mohamad Nasir sehingga wujudnya penubuhan Berjasa dan jatuhnya PAS di Kelantan. Tetapi Anwar Ibrahim menyokong PAS. Dalam hal ini, beliau geram kepada saya, kononnya, saya tidak mengikut jamaah.

Ia membuktikan, walaupun saya mengakui kebolehan, kewibawaan dan bakat pidato yang dimiliki oleh Anwar, tetapi bukan bermakna saya akan mengikut segala telunjuknya. Bagaimanapun, memang saya kagum dengan kewibawaannya, sebab itu saya sokong beliau. Saya ingin ceritakan secara peribadi, selepas balik dari mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang memecat Anwar, saya buka album dan melihat gambar-gambar bersama Anwar Ibrahim dahulu. Ia memang menyentuh jiwa saya. Saya menangis bila menatap gambarnya. Perkara ini tidak pernah berlaku di dalam hidup saya.

Akhir sekali, bagaimana Dato’ melihat ending percaturan politik dalam UMNO? Mungkin UMNO akan berlaku perpecahan?

Saya tidak nampak apa-apa masalah. Sebab UMNO adalah parti yang sudah matang. Parti UMNO sudah menghadapi pelbagai cabaran dan getir. Kes yang paling baik boleh disebut di sini ialah kes Dato’ Harun. Ketua Pemuda UMNO bela Dato’ Harun, suasananya lebih tegang daripada kes Anwar Ibrahim. Tapi kesudahannya, semua pihak akur dengan undang-undang.

Kemudian isu pindaan perlembagaan yang mahu memansuhkan kekebalan raja-raja Melayu. Ramai orang kata, habislah UMNO kali ini. Cuba tengok, UMNO mantap juga akhirnya. Raja-raja menjadi lebih berdisiplin.

Begitu juga apabila Tengku Razaleigh lawan Dr. Mahathir, sehinggalah UMNO jadi parti haram. Malah UMNO berpecah kepada dua. Betul, UMNO hilang Kelantan dan jatuh ke tangan PAS. Tetapi UMNO masih lagi mantap. Dalam isu yang kita hadapi kini, ia hanya melibatkan Anwar Ibrahim seorang sahaja. Pemimpin pergi pemimpin datang. Patah tumbuh hilang berganti.

Sumber : AIDC

Read more...

Label

Bermula 19/7/2010

Pengiklanan Sahaja

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP