.

ISLAM HADHARI: PAS PATUT BERSAMA MENGISI RANGKA DAN KERANGKANYA

>> 11 Oktober 2008



Oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk


PAS menentang Umno bukan kerana namanya Umno tetapi kerana dasarnya. Kalau Umno memerintah secara Islam, maka Pas haram wujud lagi dan sayalah pemimpin Pas pertama yang akan menyertai Umno, itu kata Mursyidul Am Pas Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam beberapa ceramah dan mereka yang mempunyai koleksi kaset dan vcd ucapannya boleh membuat semakkan mengenainya.
Nampaknya harapan dan doa Pas termakbul apabila dalam banyak-banyak tokoh pemimpin Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berdigree dalam bidang pengajian Islam dan bekas pelajar sekolah agama Madrasah ad-Daeratul Maarfif Wathaniyah Butterworth Pulau Pinang yang penubuhannya diasaskan oleh datuk kepada Pak Lah sendiri bernama Tuan Guru Haji Abdullah Fahim (seorang ulamak dan pejuang kemerdekaan) kira-kira 84 tahun yang lampau (1924).
Di Madrasah itulah juga Parti Islam SeMalaysia (Pas) atau nama penuh asalnya Persatuan Islam SeMalaya ditubuhkan pada 24 November, 1951 yang mana Mudir Madrasah ad-Daeratul Maarif Wathaniyah ketika itu iaitu Haji Ahmad Badawi bin Abdullah Fahim, ayahnda kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi tuan rumah kepada persidangan para ulamak dan ekoran darinya maka tertubuhnya Pas pada hari tersebut (24 Novemnber, 1951).
Pendaftaran rasminya diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan Persekutuan pada 31 Mei, 1955. Nama penuh Pas dipinda sebanyak dua kali iaitu 30 November 1963 kepada Persatuan Islam SeTanah Melayu dan pada 21 Jun 1977 pula namanya dipinda lagi kepada Parti Islam SeMalaysia dan nama itu kekal hingga kini. Pas juga meminda undang-undang tubuhnya berkuatkuasa pada 14 Ogos 1954 bagi menggantikan undang-undang tubuh yang diluluskan pada tahun 1951.
Ahmad Badawi sebagai tuan rumah kepada persidangan ulamak sehingga tertubuhnya Pas telah meninggalkan Pas dan menyertai Umno dan kini anaknya menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima Malaysia selepas kira-kira 57 tahun Pas yang turut diasaskan menjadi lawan paling utama Umno yang kini Umno dipresideni oleh anaknya sehingga ke tempoh bersaranya pada bulan Mac 2009.
Tiga Perdana Menteri sebelumnya adalah lulusan undang-undang manakala Perdana Menteri keempat pula lulusan doktor perubatan dan Perana Menteri sekarang yang merupakan Perdana Menteri kelima bagi negara ini berpendidikan lulusan dalam bidang pengajian agama, dilahirkan dan dididik serta dibesarkan dalam keluarga ulamak. Tidak hairanlah kalau beliau mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin sebagaimana yang menjadi harapan dan impian Pas.
Sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari yang namanya menjadi bahan pertikaian, ejekan, sendaan dan perlekehan kalangan tertentu di dalam Pas, khususnya yang menganggap Umno adalah seteru madu dan menentang Umno itu adalah kerana namanya Umno dan bukannya kerana dasar atau pendekatan Umno dalam berpolitik seperti mana yang menjadi pendirian Dato’ Haji Nik Abdul Aziz
Rata-rata kumpulan yang melihat Umno itu adalah musuh dunia akhirat dalam Pas terdiri dari kalangan mereka yang menyertai Pas kerana ikut-ikutan, kerana di dalam Pas ingin diintai, dicari dan dikaut peluang yang ada bagi kepentingan dunia, bukannya kerana kepentingan Islam dan bukannya mendakwah supaya mereka yang kurang Islamik diIslamikan, yang kurang faham tentang Islam diberi kefahaman, yang jauh dari Islam didekatkan, yang jahil dialimkan, yang culas cuba dijinakan.
Kumpulan ini seolah-olah mahu yang Islamik, yang faham tentang Islam, yang dekat dengan Islam, yang alim dan yang layak masuk syurga hanya puak-puak Pas sahaja tanpa mengambil kira seruan Allah dan Rasul-Nya agar yang jahil dialimkan dan yang jahil kena belajar dari yang alim sebagaimana kafir jahilliyah didakwah dan diIslamkan, penjahat-penjahat dan samseng-samseng kafir jalilliyah dimaafkan apabila mereka sanggup beriman.
Apakah orang Umno sejahil kafir jahilliyah, maka seolah-olah peluang untuk masuk syurga bagi mereka tersekat dan perlu disekat? Apakah orang Pas boleh yakin bahawa dengan memikul bendera Pas, maka mereka layak masuk syurga tanpa hisab macam para syuhada. Manakala orang Umno pula bila mahu masuk syurga nanti walaupun amalannya baik akan ditolak dari senarai ahli syurga hanya semata-mata kerana ianya ahli dan penyokong Umno.
Apakah antara soalan-soalan yang akan ditanya di dalam kubur nanti dibarikan dalam kuliah-kuliah tok guru bahawa antara yang akan ditanya ialah wahai umat Muhammad, wahai hamba Allah yang telah terpisah nyawa dari jasad, semasa hidup dunia engkau dari penyokong atau ahli parti Umno atau Pas?
Dari jumlah keahlian Umno yang jauh lebih ramai dari ahli Pas pula, apakah jumlah mereka yang lebih alim dalam Pas lebih ramai dari mereka yang alim dalam Umno?. Lagi pula atas ukuran dan pertimbangan apa dibuat bagi menentukan alim atau jahilnya seseorang itu?
Apakah kerana berserban, berbaju gumbang, berjubah, berjanggut dan asyik membilang tasbih itu dilihat sebagai ukuran alim jahilnya seseorang?.
Apakah tidak mungkin dalam Umno ada mereka yang bertasbih sepanjang masa tanpa membilang biji tasbih supaya orang tidak tahu tentang usahanya mendekatkan diri dengan Allah.
Mana lebih ikhlas antara orang yang berpakaian seluar jeans dan berkemeja T bersembahyang sunatnya secara sembunyi-sembunyi tanpa terdedah kepada umum (kecuali ketika sembahyang berjemaah lima waktu) dan bertasbih pula tanpa membilang biji tasbih berbanding dengan orang yang bila orang ramai dalam masjid maka mulalah rajin sembahyang sunat tetapi kalau tidak ada orang dalam masjid, maka diambil peluang berbaring sampai berdengkur dengan biji tasbih sentiasa terlekat di tangan?.
Kalau amalan sunat itu digalakan ditunjuk kepada umum atau sebagai bahan pameran bagi tujuan dan maksud apa sekaipun, kenapa melakukan sembahyang sunat itu sendiri lebih afdal dan lebih digalakan pada waktu malam yang sunyi, ketika kebanyakan orang yang tohor iman berdengkur melayari mimpi? Kenapa tidak ianya menjadi lebih afdal bersembahyang sunat di tengah-tengah lautan manusia kononnya untuk menjadi contoh, untuk ditiru oleh orang ramai.
Dalam Islam ada bab ikhlas dan riak. Semua orang boleh sembahyang, boleh tunjuk alim melalui percakapan, perbuatan, cara berpakaian, cara bergaul dengan sebagainya tetapi yang hanya dianggap sebagai ibadah dan diberikan pahala adalah yang melakukannya secara ikhlas
Kalau segala-galnya dilakukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk dan riak, sembahyanglah 24 jam pun dn sujudlah sehingga kulit dahi jadi macam kulit gajah pun tidak akan diterima Allah kerana dilakukan bukan kerana Allah tetapi kerana yang lain selain dari kerana Allah.
Demikian halnya dengan Islam Hadhiri. Yang memberikan namanya bukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seorang diri sebagai Perdana Menteri tetapi ianya terhasil dari perbincangan para ilmuan yang pakar dalam bidang hukum hakam, yang mengaji tentang ilmu-ilmu Islam.
Mungkin berlaku ketidak-tepatan nama Islam Hadhari itu kerana ianya diterjemahkan dari bahasa Arab ke Bahasa Malayu, samalah seperti Perdana Menteri sebutan yang betulnya adalah Menteri Perdana kerana sudah biasa disebut begitu ianya nampak betul walaupun hakikatnya tidak betul. Dengan kata lain nama boleh diperbetulkan tetapi yang pentingnya rangka dan kerangka Islam Hadhari itu yang perlu dibuat perkiraan yang serius.
Apakah pengisiannya bertentangan dengan hukum hakam? Apakah yang mahu dilaksanakan oleh kepimpinan Datuk Seri Haji Abdullah Ahmad Badawi lebih buruk, lebih jauh renggang dari Islam, lebih jahil dari era Perdana-Perdana Menteri sebelumnya yang bukan berdigree dalam bidang pengajian Islam seperti Perdana Menteri sekarang?.
Kalau lebih baik dan lebih bercirikan Islamisme, maka apa cerdiknya kalangan tertentu dalam Pas mempertikaikan nama Islam Hadhari itu tanpa melihat serta cuba memahami rangka dan kerangkanya. Bukankah lebih berfaedah dan berpahala jika dicadangkan nama yang lebih sesuai?.
Kalau rangka dan kerangkanya adalah baik dan ini adalah masanya yang terbaik baik untuk Islam berkembang syiarnya, maka walaupun bercanggah pendapat dari segi fahaman dan pendekatan politik, orang Pas wajib bersama-sama mengisi rangka dan kerangka yang disediakan oleh Umno, jika tidak orang Pas boleh rosak akidah sebagaimana orang Umno boleh rosak akidah kerana menganggap hukum hudud itu ciptaan Pas walhal hudud itu sendiri termaktub dalam al-Quran.
Menangguhkan pelaksanaan hudud kerana masalah-masalah tertentu dibolehkan dan hukumnya hanya setakat berdosa kerana tidak melaksanakannya tetapi menolak hudud dan menganggap hudud yang termaktub dalam al-Quran sebagai hudud Pas sebagai alasan untuk menolaknya, boleh menyebabkan rosak akidah.
Ertinya menolak Islam Hadhari kerana namanya dianggap tidak tepat kerana dan bimbang akan timbul kekeliruan bahawa ada Islam lain dari Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. memang boleh tetapi kalau menolak rangka dan kerangka bagi memastikan pemerintahan dan pentadbiran negara lebih dekat kepada yang dianjurkan oleh Islam, ianya boleh membawa kepada kepunahan akidah kerana menentang usaha ke arah pelaksanaan hukum Allah.
Malah, langkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk lebih mendekatkan kerajaan yang diketuainya sekarang dengan apa yang dituntut oleh Islam berbanding dengan pendekatan Perdana-Perdana Menteri yang lepas perlu disokong dan didokong supaya usahanya berjalan lancar tanpa sebarang bantutan.
Orang Pas jangan terburu-buru dalam menentang Islam Hadhari apatah lagi cuba mengelirukan persepsi masyarajat terbanyak terhadap Islam Hadhari yang jelas ianya bukan agama baru atau pun ajaran baru tetapi ianya lebih bersifat slogan semata-mata bagi menarik perhatian masyarakat terbanyak mendkti Islam.
Bila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengimamkan sembahyang, jangan pula diprsendakan kerana perlu diingat bahawa beliau berdigree dalam bidang penagjian Islam dan titih ulamak dan beliau ada kelayakan untuk mengimamkan sembahyang.
Sepatutnya Pas menggalakkan dan menyokong langkah Pak Lah itu supaya pada suatu ketika nanti beliau sebagai Perdana Menteri akan mempelopori pembacaan khutbah Jumaat pada masjid-masjid utama setiap negeri secara bergilir-gilir supaya amalan yang sama akan menjadi ikutan Perdana-Perdana Menteri selepas beliau nanti.
Bila Perdana Menteri membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid utama setiap negeri secara bergilir-gilir, maka Menteri-Menteri Besar juga kenalah belajar untuk nanti akan mampu berkhutbah Jumaat dan menjadi imam jemaah di masjid-masjid utama peringkat jajahan.Yang tidak mampu berbuat demikian dengan sendirinya akan segan untuk menjawat jawatan itu nanti.
Akhirnya negara akan bersih dari wabak berebut jawatan dan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan diberi laluan dan dijulang, malah tidak mustahil nanti rakyat yang mahu berurusan dengan Menteri Besar kena ke masjid kerana pejabat Menteri Besar akan ditempatkan di masjid.
Bila urusan dibuat di masjid, siapa lagi yang berani menggunakan muslihat atau sebarang cara yang tidak betul untuk sesuatu urusan kerana masjid adalah tempat suci. Siapa yang berani memberi dan menerima rasuah, korup atau menyeleweng.
Hakikatnya yang membuka laluan kepada Datuk Haji Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil pendekatan kepimpinan yang lebih jinak dengan Islam adalah bekas Perdana Menteri kelima yakni Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah dengan beraninya mengisytiharkan negara ini ngara Islam sebagai rangka dan kerangkanya yang kemudian kena diisi oleh penggantinya dan Pak Lah telah pun membuat pengisian itu.
Kalau Pas memerintah Malaysia pun belum tentu parti itu berani membuat perisytiharan tanpa menimbulkan sebarang tentangan sebagaimana tidak ada sebarang tentangan yang benar-benar serius apabila Dr Mahathir membuat perisytiharan. Contoh ketidak-mampuan Pas apabila DAP sanggup pecah kongsi kerana tidak setuju dengan pendekatan politik Pas.
Ertinya sudah sampai masanya bagi Pas berpolitik secara lebih rasional dan sentiasa memuhasabah diri untuk mencari apa yang tidak betul untuk diperbetulkan dan mengurangkan cara politik membujur lalu melintang patah semuanya dibangkang dan akhirnya sokongan terhadap parti itu berkurangan dan ianya terbukti berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-11 dulu..
Kalau kekal dengan pendekatan berpolitik secara yang kurang disenangi oleh rakyat berbanyak, tidak mustahil selepas pilihanraya umum ke-12 nanti Pas yang bersekongkol dengan PKR dabn DAP bagi menggugatkan kerajaan Umno/BN hanya akan tinggal dalam lipatan sejarah.
Jalan yang paling selama bagi Pas ialah sama-sama berpakat mengisi rangka dan kerangka yang telah disediakan bagi memastikan matlamat untuk memastikan negara ini berkerajaankan kerajaan yang menggunakan pentadbiran akan lebih cepat tercapai dengan Pas bertindak sebagai penegur dan bukan sebagai pembangkang yang hanya tahu membangkang tanpa mengambil kira apakah yang dibangka itu patut dibangkang atau sepatutnya disokong.
- Penulis adalah bekas Ketua Biro Harian Watan di Kelantan, kini pengamal media sepenuh masa dan merupakan penerbit akhbar mingguan, majalah bulanan dan buku bermarkas di Kota Bharu, Kelantan.

Dari : Melikapokjagat.blogspot.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan ulasan anda

Label

Bermula 19/7/2010

Pengiklanan Sahaja

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP