.

Gempaq : PRK Sebulan Sekali..

>> 19 Februari 2009

DARI satu bukit, menjadi dua. Kini sudah ada tanda-tanda bukit yang dua itu akan bertambah pula menjadi tiga! Demikianlah, sejak sehari dua ini orang KL tidak habis-habis bercakap mengenai bukit.

Bukit pertama mula menjadi perbualan hanya beberapa hari setelah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak ditumbangkan. Belum hilang kejutan serangan hendap BN, seorang ahli Parlimen PKR pula diserang sakit jantung.

Roslan Shaharum, 50, wakil Pas yang mewakili Parlimen Bukit Gantang sejak pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, meninggal dunia secara mengejut, menjadikan kerusi pilihan raya kosong.

Ketika masing-masing mula membuat andaian mengenai pilihan raya kecil Bukit Gantang di Perak, tiba-tiba satu lagi kerusi dikosongkan, kali ini di Negeri Jelapang Padi, iaitu DUN Bukit Selambau.

Bukan sebab serangan jantung, tidak juga serangan hendap parti lawan, kerusi itu kosong sebab wakilnya V Arumugam – YB bebas yang menyertai PKR selepas PRU-12 – meletakkan jawatan gara-gara isu beristeri dua.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) telah pun menetapkan 7 April sebagai tarikh mengundi bagi kedua kerusi yang dikosongkan di Perak dan Kedah itu. Maka cakap-cakap pilihan raya pun bergema semula.

Setelah pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan lalu yang menyaksikan calon BN (UMNO) kecundang, semua orang kini mengandaikan pertandingan dua bukit 7 April nanti tentu lebih hebat.

Tidak disangka dua hari lalu satu lagi bukit disebut-sebut akan menjadi medan pilihan raya kecil. Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

Sama ada serangan jantung mahu pun serangan hendap parti lawan, tentulah tidak dapat menandingi kehebatan serangan siber yang dihadapi oleh YB berusia 37 tahun yang masih berstatus anak dara itu.

Ada orang berniat jahat terhadap beliau. Entah siapa yang gatal tangan dan berhati hitam sehingga tergamak menyebarkan gambar-gambar Elizabeth menerusi internet. Bukan gambar biasa, tetapi gambar hangat dalam aksi yang berstatus aduhai-aduhai.

“Untuk menjaga kewibawaan parti, saya menawarkan diri meletakkan jawatan,” kata Elizabeth dalam sidang media. Beliau menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Belum jelas sama ada tawaran meletakkan jawatan YB berkaca mata yang murah senyuman itu akan diterima atau tidak, tetapi SPR awal-awal sudah membayangkan kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya kecil Bukit Lanjan serentak pada 7 April.

Ertinya, sekiranya benar peletakan jawatan Elizabeth diterima, 7 April akan menyaksikan pertandingan tiga bukit di tiga negeri PR. Pasti Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Bukit Lanjan akan menjadi tumpuan.

Pada hemat saya dua bukit sudah cukup panas, maka tiga bukit tentu terlebih-lebih panas! Lebih-lebih lagi bukit di Kedah dan bukit di Selangor dikosongkan dengan cara yang kontroversi.

Kontroversi atau tidak pertandingan tiga bukit ini sebenarnya membawa keuntungan kepada banyak pihak. Bagi rakyat jelata pilihan raya – tidak kira kecil atau besar – akan membawa tuah dan rezeki.

Sejak hari penamaan calon duit sudah bertaburan. Kerajaan akan menawarkan banyak projek di kawasan terlibat. Jalan yang berlopak akan segera diratakan dengan tar berkilat. Jambatan senget akan diganti dengan yang baru dalam masa 24 jam. Paip yang menitis macam air mata akan diperbaiki dan menyembur airnya.

Tentu tidak itu sahaja: jika atap dan dinding rumah berlubang, cepat-cepat bantuan datang untuk mendirikan rumah baru. Kalau anak berjalan kaki ke sekolah sebab bas tidak boleh masuk kampung, mereka akan dapat basikal baru.

Dan, akan ada bantuan itu bantuan ini, subsidi itu subsidi ini. Malah, saya percaya jika ada orang yang berani berkata “seluar dalam saya sudah koyak, dua tahun tidak berganti,” pasti akan ada yang pemurah membelikan orang itu sedozen seluar dalam berjenama.

Tentu kita masih ingat habuan-habuan pilihan raya kecil Kuala Terengganu: Beratus ribu ringgit diberikan untuk memperbaiki sekolah, beratus ribu ringgit lagi dikeluarkan segera untuk memperbaiki berbagai-bagai prasarana untuk rakyat. Kalah juga!

Pekerja pilihan raya pun mendapat rezeki menggolek. Pasang poster, dapat duit. Koyak poster pun dapat duit. Tolong sorak ketika kempen, dapat duit. Merajuk tidak mahu ikut kempen pun dapat duit.

Di markas parti, nasi bungkus percuma, minuman percuma, roti canai percuma, rokok percuma. Kalau tidak malu, gunting gambut dan cukur misai pun boleh dapat percuma.

Siapa tidak mahu nikmat seperti ini. Makan kenyang-kenyang dan dapat duit lagi.

Bayangkan sekiranya setiap hari pekerja parti dapat RM100, sepuluh hari kempen sudah dapat RM1,000. Dalam keadaan ekonomi meleset sekarang, ini adalah cara mudah untuk mendapat duit.

Maka ada satu teori baru ekonomi, yang amat sesuai di Malaysia: Salah satu cara melawan inflasi dan mengurangkan tekanan kemelesetan ekonomi ialah dengan mengadakan banyak lagi pilihan raya kecil. Harap-harap sehari dua ini ada lagi bukit yang dikosongkan!

Sumber : Sinar Harian

---------------
Nanti SPR akan adakan PRK sahaja..xda PRU dah.. kalau camni, setiap DUN akan di adakan PRK sebulan sekali.. dan di ikuti oleh DUN2 seterusnya pada bulan berikutnya..

Anda setuju x?

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan ulasan anda

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP