Suara Rakyat Malaysia untuk PAU
>> 25 Mac 2009
Akhbar Sinar Harian, 25/3/09
ESOK hari penentuan. Lebih 30 jawatan dipertandingkan, 269 calon ghairah untuk menang, dan 25 juta rakyat menunggu penuh debaran, ingin mengetahui ke arah mana negara ini akan dihalakan.
Keputusan sebenar akan ditentukan oleh 2,500 perwakilan yang diamanahkan memilih siapa yang paling layak mengisi kepimpinan UMNO untuk tahun-tahun mendatang.
Untuk beberapa bulan lalu yang menjadi ‘raja’ bukan calon-calon Timbalan Presiden, tidak juga calon-calon Naib Presiden, atau calon lain-lain jawatan – Majlis Tertinggi, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri.
‘Raja’ sebenarnya ialah para perwakilan yang nama dan alamat mereka tertulis di buku khas, malah ada yang disimpan dalam telefon bimbit dan PDA calon atau agen-agen calon.
Tidak kira siang, malam, tengah malam dan bila-bila masa sahaja agen calon – atau mungkin calon sendiri – akan menghubungi ‘raja’ untuk meminta ‘pertolongan’, boleh jadi dengan SMS: “Tolong undi calon sekian-sekian...”
Dan pertolongan itu tentu sekali tidak dibuat dengan ikhlas, juga tidak dengan semangat tulen perjuangan parti, tetapi dengan habuan wang. Sebagai ‘raja’ perwakilan yang meletakkan harga. Seribu? Dua ribu? Ribu-ribu-ribu?
Itulah andaian umum sekarang, bahawa politik wang semakin berleluasa dan sudah membarah parah dalam parti terbesar orang Melayu. Memalukan! Menjijikkan.
Para perwakilan, dari Perlis hingga ke Sabah, dalam tempoh sebulan dua ini sesuka hati dan tanpa malu-malu, memasang lukah untuk mencari laba mudah dari calon-calon yang ghairah untuk menang.
Andaian itu bukan tanpa kebenaran. Beberapa pemimpin UMNO telah menjadi bukti amalan songsang dalam parti perintis kemerdekaan itu. Beberapa tahun dulu Isa Samad pernah dihukum kerana amalan politik wang (kali ini bertanding lagi!).
Terbaru Ali Rustam didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin parti kerana mengamalkan rasuah politik, dan dihukum tidak boleh bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan ini.
Turut didapati besalah di bawah tataetika yang sama ialah calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin. Nasibnya baik, walaupun melakukan kesalahan yang sama, menantu Perdana Menteri itu masih dibenarkan bertanding.
Mohamad Norza Zakaria juga disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan didakwa di mahkamah atas tuduhan mengamalkan politik wang.
Pendek kata rasuah politik bukan sekadar andaian, tetapi satu kenyataan. Maka tidak menghairankan apabila ada calon-calon secara bergurau mengakui: “Bagi (duit) salah, tak bagi kalah!” Percayalah, itu bukan sembarangan gurau!
Tidak diketahui dengan tepat berapa banyak wang telah bertukar tangan – dari calon kepada wakil calon, dan kepada si ‘raja’ – dalam masa sebulan dua ini. Mungkin beribu ringgit, boleh jadi sudah mencecah jutaan ringgit.
Mungkin banyak lagi yang dijanjikan setelah calon berkenaan menang.
Alangkah jijiknya politik Islam, politik Melayu, politik UMNO! Sekiranya keputusan PRU-12 setahun lalu dijadikan iktibar, kejijikan itu sepatutnya telah dibersihkan dari UMNO. Tetapi ‘raja-raja’ UMNO tetap sama, dari dulu, kini dan selamanya. Wang juga keutamaan mereka.
UMNO ditolak – termasuk oleh orang Melayu sendiri – sebab parti yang diuar-uarkan sebagai pejuang dan penegak Islam itu mengamalkan perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan agama. Parti dengan keahlian lebih tiga juta orang itu dikaitkan dengan rasuah, keangkuhan dan skandal.
Kalahlah macam mana pun, hilanglah kekuasaan beberapa negeri pun ‘raja-raja’ ini tidak akan mendapat pengajaran. Selepas kalah pada 8 Mac, sepatutnya ‘raja-raja’ yang laparkan wang rasuah ini tersentak sedar. Tetapi amalan jijik ini tetap juga menjadi pegangan.
Kalah di Permatang Pauh dan kalah lagi di Kuala Terengganu, persetankan kekalahan itu kerana perut tetap menjadi keutamaan. Anak bini mesti disuap dengan wang haram itu. Biar parti tergadai, biar negara tergadai asalkan perut kekal burai.
Apakah parti Datuk Onn Jaafar itu hendak dikuburkan dengan keranda rasuah? Malu besarlah anak cucu kita apabila membaca sejarah bahawa UMNO yang ditubuhkan untuk membela Melayu dan negara akhirnya lingkup gara-gara rasuah politik.
Tolong, jangan kuburkan UMNO dengan keaiban! Parti ini perlu dihidupkan, sebab ini wadah perjuangan bangsa. Meski ada parti-parti lain, UMNO masih tetap menjadi harapan.
Tetapi apa yang dapat diharapkan dari sebuah parti besar sekiranya para pemimpin terdiri dari mereka yang kotor lagi menjijikkan? Bolehkah pemimpin kaki rasuah, kaki songlap, kaki putar alam, kaki seleweng, kaki maksiat diharapkan untuk membela rakyat? Tidak boleh!
Sebab itu UMNO mesti dikendalikan dan diterajui oleh para pemimpin yang bersih, berwibawa. Tidak kira apa jawatan yang dipegang dari yang tertinggi hingga yang terendah, semuanya hendaklah bebas dari sebarang kemungkaran.
Esok, pilihlah calon-calon yang boleh membawa harapan baru kepada agama, negara dan bangsa. Inilah tugas 2,500 perwakilan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putera.
Andalah yang sebenarnya mengetahui calon mana yang perasuah. Katakan ‘tidak!’ kepada calon-calon ini. Nyahkan mereka dari fikiran anda, nyahkan juga mereka dari UMNO.
Anda tahu mereka. Anda terima wang dari mereka tetapi demi parti, tolaklah mereka. Jika anda sudah terlanjur menerima wang itu, bertaubatlah dan bantulah pemberi rasuah itu dengan tidak mengundi mereka. Jangan bersubahat lagi. Ingat, bersubahat itu lebih besar dosanya dari orang yang melakukan.
Anda berdosa sekiranya dalam masa sebulan dua ini telah menerima habuan dari calon-calon berkenaan. Tetapi anda lebih berdosa sekiranya calon-calon yang telah merasuah anda ini dipilih untuk memimpin parti.
Sebagai orang Islam anda tahu duit rasuah yang diterima dari calon adalah haram. Sekiranya anda percaya kepada Allah, benda haram walau sebesar zarah pun akan mendatangkan mudarat.
Tergamakkah anda mengambil duit haram itu untuk diberikan kepada anak-anak dan isteri di rumah? Duit rasuah digunakan untuk membeli susu bayi, membeli makanan untuk seisi keluarga.
Apabila benda haram masuk ke dalam darah dan tubuh kita, terimalah akibatnya. Mungkin jasad yang mengandungi duit haram itu akan menerima bencana – kebakaran, kemalangan, dan lain-lain kecelakaan.
Boleh jadi juga hasil haram dalam tubuh akan menjadikan anak anda penagih dadah tegar. Sanggupkah sebagai ibu bapa bertanggungjawab anda memberi benda haram wang politik UMNO untuk keluarga?
Kesalahan memilih calon yang kotor tidak sahaja menyebabkan anda dimurkai Allah (takutlah pada neraka jahanam!). Malah lebih malang lagi dengan kesilapan memilih calon anda meletakkan parti dalam keadaan songsang.
Parti yang songsang akan membawa kehancuran kepada agama, bangsa dan negara. Anda akan disumpah oleh anak cucu sebagai orang yang tidak bertanggungjawab kerana memilih calon korup.
Jadilah perwakilan yang bertanggungjawab dan ada harga diri. Tolaklah calon yang memang diketahui tidak bersih. Inilah harapan kami, dan harapan berjuta-juta rakyat, khasnya orang Melayu.
Tentu sekali sebagai perwakilan pilihan akar umbi nilai maruah anda bukan seribu ringgit, tidak sepuluh ribu ringgit, hatta tidak juga sejuta ringgit. Tetapi sekiranya wang rasuah juga yang menentukan keputusan anda, andalah yang akan menjawab ketika bertemu Allah nanti!
1 ulasan:
Ada satu resipi orang cina yang orang melayu kena ambil. Sokonglah calon yang menang walau itu bukan calon pilihan anda. Walau pun Ss sokong Mukhris, tapi KJ dah menang. Tak apalah. Demi kerana Umno dan BN, Ss akan menyokong beliau. yang lepas tu, lepaslah. kecuali kalau ada bukti. kalau tiada bukti, jangan lagi diungkit-ungkit. Sokonglah ia untuk kemajuan Umno. kalau dia buat tak betul, ramai-ramailah tegur dia.
Catat Ulasan