DOA Tok Guru Nik Aziz yang gemar mengadakan solat hajat satu stadium untuk musuh-musuhnya nampaknya tidak menjadi. Doanya tidak makbul, sebaliknya beliau yang bermasalah.
Syed Azidi @ Kickdefella kini menjadi musuh No.1-nya. Syed Azidi menjadi duri dalam daging Nik Aziz. Syed Azidi yang dihajatkan menjadi seperti Osama Ben Ladin oleh CIA, kini memakan tuan.
Syed Azidi kini sudah menjadi seperti al-Qaeda oleh Amerika Syarikat. Osama pernah dibentuk oleh AS untuk menjahanamkan Rusia satu ketika dulu. Tapi kini Osama ialah musuh Amerika No.1.
Dalam dunia ini banyak benda yang boleh jadi terbalik. Hari ini kawan, esok lawan dan begitulah putarannya.
Blogger Kickdefella (bererti: Sepak Orang Itu) diberi misi untuk merosakkan imej Perdana Menteri, Pak Lah ketika itu. Jika imej PM rosak ia sekali gus akan merosakkan imej BN dan UMNO, khususnya di Kelantan.
Imej-imej grafik yang direka bentuk oleh Kickdefella amat hebat. Poster-poster wayang yang memaparkan wajah hero-hero Hollywood, ditukar menjadi wajah-wajah jelik Pak Lah, Tun Mahathir, malah Najib.
Dipendekkan cerita PRU 2008, pembangkang menang besar. Kelantan terus diperintah oleh Tok Guru. Rakyat ketika itu sudah jadi keliru. Pemikiran mereka sudah termakan dengan dakyah yang direka oleh orang seperti Syed Azidi. Syed Azidi mendakwa kepada SPRM beliau dibayar RM4 juta oleh operatif Pas untuk operasi gerak sarafnya. (Sehingga kini tiada siapa dari Pas yang mahu mengaku).
Pada waktu operasi itu kencang dicanang oleh Syed Azidi, para pemimpin pembangkang senyap-sunyi. Nik Aziz pun tak komen apa-apa. Pada waktu itu Syef Azidilah segala-galanya. Beliau ialah permata hati pengikut Pas.
Kini, apabila Syed Azidi membongkar segala-galanya, Nik Aziz mula melalut sehingga sanggup cakap macam-macam terhadap Syed Azidi. Kasihan Tok Guru. Beliau sudah tua dan sudah terlalu lama, agaknya?
Cukup-cukuplah wahai Tok Guru. Kalau ambo di tempat Tok Guru, buat apa pening-pening kepala, berhenti sahajalah dari politik. Dan duduk diam-diam di Pulau Melaka tu. Beribadat dan serahkan diri kepada-Nya. Ingatlah kita ini bukan insan yang sempurna. Wallahualam.
Cara kita tangani krisis...
KES 1: Kisah wanita 'didera' polis ketuk-ketampi. Ia menjadi riuh satu Malaysia pada Jun 2005. DAP menangguk di air keruh mengatakan seorang wanita dari tanah besar China didera polis dalam lokap.
Gambaran wanita itu hanyalah dari imej video telefon tangan.
Akhirnya kerana kerajaan terlalu defensif atau mungkin terdesak dek public opinion yang kuat, maka sebuah suruhanjaya bebas dibentuk bagi menyiasat dakwaan itu. Suruhanjaya yang dipengerusi oleh mantan Hakim Tun Mohd. Dzaiddin Abdullah itu bolehlah dianggap sebagai yang terhebat di negara ini.
Ramai yang kena panggil. Mahu dipendekkan cerita yang panjang, maka suruhanjaya itu mendapati pihak polis bersalah 'mendera' wanita itu.
Kerajaan kemudian menghantar seorang wakil bertaraf menteri Kabinet, Datuk Seri Azmi Khalid ke Republik Rakyat China pada November 2005 bagi memohon maaf. Maka maaf pun dipinta dan kerajaan China yang mungkin 'tidak begitu kisah dengan isu itu kerana rakyatnya berjumlah lebih 1 bilion orang' pun terimalah maaf itu.
Mahu dijadikan cerita lagi, wanita yang dikatakan berasal dari China itu, rupa-rupanya ialah seorang wanita Melayu - warganegara Malaysia. Namanya ialah Hemy Hamisa Abu Hassan Assari.
Semua orang tergamam. DAP, sebaliknya buat-buat tak dengar, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
KES 2: Kisah Beng Hock yang didakwa 'dibunuh' oleh SPRM. Ia juga menjadi riuh. Sama seperti kisah ketuk-ketampi, DAP juga yang menjuarainya. Satu inkues bagi menyiasat bentuk kematian pegawai khas kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor itu pun dibentuk.
Sehingga hari ini, siasatannya belum berakhir. Pakar forensik dari UK yang dilantik oleh SPRM, Dr. Peter Vanezis telah membuat konklusinya dengan mengatakan Beng Hock tidak dibunuh. Berdasarkan post-mortem kali kedua tiada kesan yang menunjukkan bahawa lelaki itu dicekik atau diseksa dengan kejam sebelum dibuang dari tingkat 14 bangunan SPRM cawangan Selangor itu.
Semasa bedah siasat itu dijalankan kali kedua, pakar forensik bagi pihak Kerajaan Selangor turut hadir. Pakar forensik bernama Dr. Pornthip itu berasal dari Bangkok, Thailand.
Namun, kini nampaknya kes itu mulai sejuk. DAP dan mana-mana pihak yang menuduh SPRM terbabit membunuh saksinya sendiri itu, mulai membisu. Yang peliknya pakar forensik Siam mereka itu entah ke mana.
Beliau sepatutnya hadir untuk memberi keterangannya terhadap bedah siasat kedua itu. Namun, beliau memberi alasan takut hendak datang ke negara ini.
Beliau takut nyawanya terancam. Beliau mahukan 'jaminan negara Malaysia' bagi melindunginya. Persoalannya siapa pula yang mahu mengancam nyawa beliau?
KES 3: Kisah kematian murid tingkatan tiga Aminulrasyid Amzah yang ditembak polis. Sejak kejadian murid itu berlaku dua minggu lalu banyak pihak yang mahu tumpang semangkuk. Masing-masing mahu menjadi juara untuk membela kematian budak sekolah itu. DAP nampaknya tidak berapa kisah.
Tapi Ketua Polis Negara (KPN) nampaknya tetap mempertahankan anak-anak buahnya. Oleh kerana public opinion sekali lagi mengatasi kes jenayah itu sendiri, maka sebuah badan siasatan dibentuk.
Bekas KPN, Tun Hanif Omar, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusuf, Suhakam, peguam dan pensyarah adalah antara lapan panel khas dilantik memantau siasatan itu.
Keluarganya mahukan sebuah suruhanjaya diraja. Keputusannya belum ada lagi. Sekiranya badan siasatan itu merasakan perlu, mungkin ia akan ditubuhkan. Jika ia ditubuhkan maka sekali lagi ia akan memakan masa yang panjang dan wang rakyat yang besar.
Namun, public opinion daripada golongan muda, NGO berhaluan kiri semuanya menyalahkan pihak polis. Perkara pokok bagaimana kejadian itu boleh berlaku tiada siapa peduli. Persoalan tanggungjawab keluarga terhadap anak jagaan tidak dipersoalkan. Semua kesalahan diletak di bahu polis.
Ada juga yang mempertahankan polis. Oleh kerana terlalu banyak versi yang timbul mengenai kes itu, kita tidak perlu campurlah.
Kes-kes di atas adalah sebahagian daripada cara kita menangani krisis yang berlaku membabitkan orang awam di negara ini.
Persoalannya apakah kita mengambil iktibar daripada kesemua kes itu, atau kita tidak kisah.
Saya mahu tanya apakah sistem kita ini semakin matang ke depan, atau semakin gostan ke belakang?
Rencana dari Utusan
------
Mana hero-hero yg suka kecoh kecoh tu?
Read more...