.

Misteri Ikan Gelama di Pahang

>> 20 Mei 2010

KUANTAN – Fenomena aneh ikan gelama terdampar di Pantai Sepat dan Cempaka di sini sejak seminggu lalu mencetuskan kebimbangan dan tanda tanya kepada penduduk.

Mereka bingung menyaksikan ribuan gelama terdampar di sepanjang lima kilometer kedua-dua pantai itu tanpa diketahui puncanya.

Salah seorang nelayan yang ditemui dan hanya mahu dikenali sebagai Mat Yie, 32, berkata, dia tidak pernah berdepan dengan kejadian luar biasa itu sepanjang 20 tahun menjadi nelayan.

Katanya, dia menolak andaian fenomena itu adalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab nelayan pukat jerut yang membuang ikan kecil seperti yang didakwa sesetengah penduduk sebelum ini.

“Tidak mungkin jumlah ikan yang dibuang oleh nelayan pukat cerut mencecah sehingga tiga tan. Jika dibuang oleh nelayan, ikan-ikan itu sepatutnya sudah mati apabila dijumpai di persisiran pantai.

“Saya sendiri ada terjumpa ikan yang masih hidup dan badannya berlendir ketika mengutip ikan-ikan itu untuk dijadikan ikan masin beberapa hari lepas,” katanya.

Mat Yie berkata, ramai penduduk yang mengutip ikan-ikan itu untuk dijadikan ikan masin dan ikan jeruk bagi mengelakkan pembaziran.

“Nelayan di Pantai Sepat pula mengutip ikan yang bertaburan di sekitar pantai dan menanamnya untuk mengelakkan bau busuk kerana ia mempengaruhi hasil tangkapan nelayan kerana ikan-ikan tidak mahu menghampiri pantai,” katanya.

Bagaimanapun katanya, fenomena ikan terdampar di pantai itu tidak mempengaruhi hasil tangkapan nelayan yang mampu mendaratkan ikan seberat 20 kilogram setiap kali turun ke laut.

Ghazali Abdul, 42, pula mempunyai pendapat berlainan kerana dia menganggap kejadian itu adalah berpunca sepenuhnya daripada tindakan nelayan pukat jerut yang membuang ikan di tengah laut.

“Setakat ini saya belum mendengar rakan-rakan nelayan di sekitar Berserah dan Balok mengalami kejadian yang sama. Jika ia disebabkan oleh air laut yang panas, sudah pasti fenomena turut terjadi di sana.

“Lagipun jumlah ikan yang terdampar ini bagi saya tidaklah terlalu banyak kerana ia tidak kelihatan menimbun dan hanya bertaburan di sepanjang pantai sahaja,” katanya.

Rakannya, Mohd Nordin Tan Baidullah, 33, berkata, dia terkejut dan bagaikan tidak percaya apabila isterinya memberitahu banyak ikan gelama terdampar di pantai dan boleh dikutip dengan tangan sahaja.

“Saya ada mendengar cerita daripada rakan yang memberitahu ikan-ikan ini terdampar disebabkan tumpahan minyak daripada kapal yang bocor di tengah laut.

“Bagaimanapun saya sendiri tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita tumpahan minyak terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohamad Mat Saman ketika dihubungi berkata, fenomena ikan terdampar itu adalah sesuatu yang biasa dan tidak membimbangkan.:

“Mungkin keadaan air laut yang lebih bergelora daripada biasa mendatangkan kesan kepada ikan kecil yang hidup di permukaan air dan seterusnya mewujudkan kejadian ikan yang terdampar di persisiran pantai.

“Bilangan nelayan pukat cerut yang membuang ikan juga tidak ramai dan tidak akan menjejaskan hasil tangkapan nelayan,” katanya

[sinar harian edisi Pahang]

-------------------------------------------
Kat sini ikan payah nk dapat, kt sana dapat free.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan ulasan anda

Label

Bermula 19/7/2010

Pengiklanan Sahaja

Sumber (Bermula Mei 2010)

Blog Archive

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP