.

Kuasa Melayu Yang Semakin Layu

>> 28 Julai 2010

Sejak 9 Jun 2010, Geger Sokmo, masih berbicara tentang senario politik tanah air. Penulis mengambil sikap yang agak berterus terang. Rakan-rakan dan kenalan menaruh bimbang, takut-takut ada salah tanggapan atau salah faham orang. Cara penulis dikatakan ‘lurus bendul’ dan ‘betul sudip’- simpulan bahasa orang Kelantan. Ada yang mengirimkan macam-macam pendapat. Seorang ahli keluarga, Haji Wan Hussein Wan Yacob (Kubang Kerian, Kota Bharu) mengirimkan SMS yang berbunyi “boleh cemas, boleh bimbang, takut pun boleh, tak takut pun tak boleh, jangan tak bimbang. Pelik sedikit madah berhelah ini, berbelit serupa syair Kalinga. Kita berhujah sebetul sudip selurus bendul. Kita nak suruh turap mana berongga, kita nak demo naik ke landasan. Kita nak demo parkir baik-baik. Hamba bimbang, nantilah tadah telinga tunggu orang cerlung mata. Bukan semua orang reti baso”. Itu luahan rasa beliau.

Bermula dengan artikel ‘Bacaan Politik Baru Dari Sibu’, penulis banyak kali menimbulkan persoalan politik. Cetusan idea pada 14 Julai ‘Ketepikan Kesombongan, Nostalgia’, bukan sedikit mendapat reaksi pembaca, yang salah tanggap pun ada. Tiada pun tudingan khusus, tetapi ada yang terkena ‘batang hidung’. Kesombongan dan nostalgia berlebihan mengenai kehebatan silam boleh mengalpakan kita. Sebab itu gelaran ‘Sesumpah’ (yakni Pokkor) oleh Datuk Sri Mohd Najib itu benar apabila ditujukan kepada seorang pemimpin yang bermuka-muka, nostalgia dengan kehebatan diri, berubah warna perjuangan kerana kepentingan peribadi. Bahasa kiasan atau analogi begitu berguna bagi memudahkan kefahaman. Kata Perdana Menteri semasa melawat ke pejabat Kumpulan Media Karangkraf pada 6 Julai 2010, “boleh kritik jangan fitnah”. Maknanya tanggapan negatif atau positif itu haruslah bertempat, agar kita jadi bijaksana.

Pembangkang lebih gemar bercakap. Kata orang, bercakap itu apalah susahnya. Itu yang menjadi amalan pembangkang, sukar bertindak melakukan perubahan, kecuali perobohan terhadap perkara-perkara yang baik. Kadangkala perubahan sesuatu dasar mereka kerana muslihat politik, kepentingan diri, dagang atau kepartian. Masalah korek gali pasir di Selangor menjadi ‘panas’ sepanjang Julai 2010 ini disebabkan ada kluk-klak politik. Kenapa syarikat Selangor itu tidak korek sahaja padang pasir Sahara atau Gurun Gobi?. Ya, para pemimpin boleh merombak atau mengubah dasar tetapi implikasi masa depan perlu dilihat sama, sebab mereka tidak lama berkuasa. Pemimpin boleh datang, pemimpin boleh pergi. Jangan tinggalkan negeri atau negara jadi ‘kelontong’, jika kita tidak mahu kekalutan politik diwarisi generasi terkemudian. Penggubalan sesuatu dasar atau keputusan bagi mengubah dasar tidak harus dibuat berdasarkan satu idea atau satu dua pendapat peribadi.

Ada orang mengatakan kepada penulis bahawa gabungan ‘Merah-Hijau’ mungkin juga ‘Biru Fairuz’ (DAP-Pas-PKR} itu menjadi ancaman terkini kepada kuasa pemerintahan atau politik Melayu. Generasi muda Melayu, kira-kira 60 peratus dikatakan masih berada di atas pagar, tidak pun mahu daftar sebagai pengundi. Mereka patut sedar tentang pemikiran politik, apakah bezanya 1Malaysia dengan Malaysia Malaysia, kenapa kuasa itu penting, bagaimana rakyat Malaysia boleh hidup bersatu padu, penuh kedamaian dan kemakmuran. DAP berhajat besar menawan hati Melayu dan bumiputera bandar dan di luar bandar. DAP sudah ada wahana dan rakan kongsi tersendiri melalui PR. Dalam arena politik semasa, kesedaran generasi muda Cina jauh lebih tinggi berbanding dengan kesedaran golongan muda Melayu dan umat Islam. Kebimbangan baru ialah kemungkinan terhakisnya kuasa politik Melayu.

Cuba bayangkan sejauh manakah kemusnahan Melayu dan kehancuran kedudukan istimewa mereka, jika kuasa politik tidak dijaga. Golongan muda Melayu, pengundi kali pertama mesti ada kesedaran politik. Gelombang merah semakin kuat dan telah menghempas pemimpin Melayu dalam PR. Kaji dua keputusan pilihan raya sebelum ini, undi siapakah yang banyak untuk pembangkang? DAP banyak beri ruang kepada seorang tokoh pemimpin Melayu kerana mereka perlu seorang Melayu dipilih sebagai pemimpin utama. Orang Melayu pula tanpa sedar, kononnya kita sudah ada alternatif, walhal senario menunjukkan sebaliknya. PR bukan alternatif bagi menggantikan BN. Kita tidak nampak DAP mampu bekerjasama dengan PAS untuk jangka panjang. Mesej PRU 12 lebih menguntungkan parti-parti Cina kerana di luar ada yang mengkritik, mendesak dan menuntut dan pada masa yang sama ada tuntutan dari dalam dengan ancaman undi Cina akan lari ke DAP atau pembangkang.

Kenapa PR hanya pandai cari salah orang dan mengkritik, sesekali berbau fitnah? DAP memang tidak akan memahami aspirasi bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia. Kata seorang sahabat apakah Pas dan PKR mahu perkongsian yang sia-sia? Rancangan strategik secara halus telah pun dibuat untuk menguasai Melayu dan bumiputera. Tidak mustahil DAP mampu membuat penyokong-penyokong Cina MCA dan Gerakan tidak lagi yakin dengan BN dan orang Melayu tidak berminat kepada UMNO. DAP akan menambah kerusi di Sabah dan Sarawak dengan sokongan bumiputera di sana apabila ‘jarum’ pelali mereka sudah masuk. Bukankah formula Sibu berjaya menarik sokongan orang-orang Cina di sana dan DAP bertambah yakin akan dapat mentadbir negeri-negeri di sebelah bumi Borneo. Politik akan menjadi lebih kalut lagi, jika dikenangkan nasib Melayu seandainya terjadi ‘gelombang merah menelan gelombang hijau’. Gelombang hijau patut cari pantai yang landai panjang luas untuk mendamparkan diri dan keluar dari bayang-bayang.

Kalut sungguh politik. Menteri Besar Kelantan tetap pertahankan negara Islam. Karpal Singh menolak keras konsep negara Islam tajaan Pas. Beliau masih menaruh prasangka terhadap Islam dan baru lagi bertelagah pendapat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz. Ada cadangan PR membangkitkan isu negara adil, semata-mata bagi mengelakkan konflik antara mereka. Malaysian-Malaysia sudah dipromosikan dengan Malaysia-Sederhana. Sikap Melayu yang sentiasa mengalah, tidak terasa pun seperti dipermainkan. Mesej seorang rakan, Samsudin Ab Rahman yang mengikuti pilihan raya Sibu, mengutip banyak cerita yang berbeza dari sana. “A vote for DAP is a vote for Pas and a vote for DAP candidate is a vote for Islamic State”. Bekas MB Perak berkata dalam bahasa Mandarin “wo men do shi yi jia ren”, maknanya kita semua adalah dari satu keluarga yang sama. Itulah lagak pemimpin pembangkang Melayu semasa sama-sama berceramah di Sibu. Kabarnya untuk “DAP Mulan Night”, Teresa Teng, artis popular Hong Kong berada di pentas yang sama.

Cara DAP kempen ialah dengan memainkan sentimen kaum Cina. Dalam masyarakat Cina, isu pendidikan Cina dan kedudukan SRJKC atau SMJKC amat sensitif. Senjata kempen SRJKC oleh DAP setiap kali pilihan raya sangat jelas. Semasa kempen pilihan raya di Kuala Terengganu dahulu, orang Cina minta SRJKC dibantu. Semasa pilihan raya Hulu Selangor Kerajaan mengeluarkan bantuan RM3 juta, manakala di Sibu sebanyak RM18 juta. Bagi Lim Kit Siang, bantuan tambahan itu dianggapnya terlalu kecil. Katanya di Sibu The Penang government gave RM11.3m to the school every year and if you want money every year, then vote for PR. Cara DAP itu nampaknya memerangkap MCA dan Gerakan pula, kerana mahu mengambil hati orang Cina, mereka mendesak Kerajaan membantu SRJKC. Tuntutan terbaru ialah permohonan geran RM1 bilion melalui MCA untuk sekolah-sekolah berstatus persendirian dan bukannya pun sekolah bertaraf kebangsaan atau negara.

Isu bantuan ini akan terus dipermainkan DAP. Hal ini melebar pula kepada peruntukan biasiswa JPA. Sungguh pun Kerajaan bersetuju untuk pemberian biasiswa kepada para pelajar bukan Melayu yang memperoleh 9A, namun kuota antara bumiputera-bukan bumiputera masih diperlukan atas dasar tanggung jawab Perlembagaan. Agensi-agensi lain terutamanya MARA diharap tidak terjerat kepala. Kita bimbang dengan trend politik yang memburuk-burukkan Kerajaan itu menimbulkan sikap anti Kerajaan. Segala yang baik menjadi cemuhan. Di sana sini masih banyak kedengaran ungkit mengungkit, komen-komen buruk dari segi pembiayaan SRJKC, kos pembinaan bangunan, penyelenggaraan dan gaji guru. Kini jumlah pelajar sekolah bantuan kian bertambah setiap tahun. Orang bukan Melayu memperoleh apa yang mereka mahu. Mereka patut bersyukur dan menghormati keadilan dasar-dasar Kerajaan. MCA dan Gerakan mesti bekerja kuat bagi mengembalikan keyakinan.

Politik adalah politik. Jika politik terlalu kalut atau keruh dan tidak dijernihkan dengan rasa tanggungjawab, kesetiaan, penerimaan, keadilan berpandukan Perlembagaan, maka selagi itulah kebersamaan untuk menegakkan aspirasi nasional tidak wujud. Rakyat tidak patut dikelirukan dengan kekalutan para pemimpin mereka terhadap sesuatu isu yang bukan-bukan. Di dalam kepelbagaian kita, sedikit pengorbanan diperlukan bagi memenuhi aspirasi matlamat negara bangsa, kesatuan dan perpaduan melalui 1Malaysia.

Tajuk Asal : Kalut Politik Dua Gelombang
Oleh : A. Aziz Deraman
Sinar Harian

1 ulasan:

Mohd 29 Julai 2010 pada 9:55 PG  

Di peringkat awalnya UMNO, ramai guru yg menjadi ketua cawangan, ketua bahagian dan pegang berbagai jawatan dlm parti. Di masa itu, tidak ada politik wang. Sebab guru adalah orang yg terpelajar dan memang sudah terlatih utk memimpin orang. Guru2 membuat kerja2 parti dgn rela dan ikhlas dan tidak berlaku salah guna kuasa dan korupsi.
Kemudian, ahli2 korporat yg keparat telah mengambil alih jawatan2 parti di peringkat cawangan dan bahagian. Maka mulalah, ketua2 parti ini menabur duit utk mendapat sokongan. Mereka memegang jawatan hanya utk dapat habuan spt lesen2 perniagaan, lesen lori, AP, saham percuma, dll.
Jadi sekarang, UMNO perlulah berubah dan jatuhkan semua ketua2 cawangan dan bahagian yg terdiri dpd ahki1 korporat dan gantikan dgn orang2 yg tidak ada kepentingan diri dan sanggup berkerja utj rakyat.

Catat Ulasan

Sila tinggalkan ulasan anda

Label

Bermula 19/7/2010

Pengiklanan Sahaja

Sumber (Bermula Mei 2010)

Blog Archive

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP