PERLUKAH PEMIMPIN OPORTUNIS UNTUK NEGARA?
>> 09 Oktober 2008
(Gambar) : Antara pemimpin yang mahu membentuk kerajaan mimpi 916 atau kerajaan langit
PERLUKAH PEMIMPIN OPORTUNIS UNTUK NEGARA?
18/9/2008 10:50:03 PM
Pengirim: Adi Hassim (Sinar Harian)
Semua ini akibat kemenangan yang dianggap “nasib baik” oleh mereka dalam pilihan raya ke-12 kerana faktor negara dilanda krisis ekonomi akibat fenomena global khususnya pasaran harga minyak dunia yang melambung menyebabkan kesan langsung terhadap negara. Oleh sebab itu, perbuatan menghina, pengenalan istilah-istilah buruk terhadap pemimpin negara menyebabkan pelabur luar tidak yakin untuk melabur di dalam negara kita. Berdasarkan ceramah-ceramah dan rapat umum tanpa henti-henti sejak pilihan raya 8 Mac 2008 hingga kini, seolah-oleh penasihat (Barisan Alternatif) mengangkat dan membawa dirinya seperti penyelamat Malaysia yang paling unggul sedangkan sewaktu negara tanpa dirinya pun rakyat hidup penuh kesejahteraan. Berbanding sewaktu beliau pernah memegang jawatan di dalam kabinet sebelum dipecat atas perbuatannya sendiri.
Sikap penasihat parti gabungan Barisan Alternatif ini sepatutnya sedar bahawa mereka tidak layak menggunakkan istilah Pakatan Rakyat kerana matlamat percantuman mereka lebih cenderung kepada memenuhi hajat seseorang individu untuk berkuasa. Memang tidak boleh dinafikan bahawa penasihat Barisan Alternatif ini amat petah berpidato dan berkata-kata. Namun apakah cukup, bijak berkata-kata sudah mampu menukarkan kerajaan bagi menjaga keseluruhan rakyat Malaysia? Adakah konsep keadilan yang diperjuang benar-benar adil untuk semua atau skop keadilan itu hanya berlegar terhadap pemberian kontrak kepada bapa, abang, adik, adik angkat dan rakan-rakan sahaja? Jika tidak mampu ke arah keadilan yang sebenar adalah baik menghentikan perbuatan yang telah merugikan negara apatah lagi masa hadapan anak-anak muda yang perlu pembelaan bukan dipergunakan.
Sesungguhnya rakyat sudah tahu membezakan antara yang benar dan yang palsu. Antara janji manis dan pembangunan sebenar. Rakyat sebenarnya sudah bosan akibat khayal dan terbang di alam fantasi awang-awangan indah yang sekadar memperolehi janji-janji kosong. Sebagai contoh sikap gembar-gembur akan menukar kerajaan pada 16 September kerana dikatakan ada Ahli Parlimen BN dipujuk untuk melompat parti. Walhal tidak ada sesiapapun yang berkeinginan walaupun dilaporkan ada usaha menawarkan kemewahan lumayan yang besar untuk Ahli Parlimen khususnya dari Sabah dan Sarawak. Akhirnya ini membuktikan fakta pembohongan dan menunjukkan kemaluan yang besar diterima oleh mereka kerana cakap tidak serupa bikin walaupun sebelum ini mata menyala-nyala yakin dan cuba meyakinkan bahawa pertukaran kerajaan akan benar-benar berlaku pada 16 September 2008.
Secara logiknya tindakan merampas kuasa secara lompat parti sebegini sungguhlah tidak demokratik dan ini membuktikan Barisan Alternatif sanggup melakukan apa sahaja hatta memberi rasuah demi keuntungan mereka. Bagi manusia yang normal dan berfikiran waras jika ini kaedah ingin berkuasa, bagaimana mereka hendak menegakkan amanah dan integriti sekiranya sebelum berkuasa mutlak lagi telah memberi gambaran kecenderungan salah guna kuasa dan amalan rasuah politik? Perbuatan sebegini sungguh memalukan kerana melanggar prinsip cabaran ke-3 wawasan 2020.
Lebih menyakitkan hati rakyat Sabah dan Sarawak apabila dikaitkan dengan usaha yang begitu mudah dipancing wakil rakyat mereka, seolah-olah rakyat Sabah ini rendah akhlaknya, tidak berharga diri, boleh diperbodoh-bodohkan dan diibaratkan katak yang tidak berpendirian juga boleh dijual beli serta diperdagangkan. Maka ini sebenarnya mesej halus dan simbolik penghinaan oleh pemimpin atasan Barisan Alternatif bernama Anwar Ibrahim di sebalik senyuman sinis manusia yang hipokrasi serta tidak mendatangkan apa-apa kebaikan atau sumbangan terhadap negarapun melainkan kebolehannya memecah belah rakyat Malaysia khususnya antara rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
0 ulasan:
Catat Ulasan