.

PERLUKAH PEMIMPIN OPORTUNIS UNTUK NEGARA?

>> 09 Oktober 2008

Sambungan2-PERLUKAH PEMIMPIN OPORTUNIS UNTUK NEGARA?

18/9/2008 10:51:11 PM

Pengirim: Adi Hassim (Sinar Harian)

Adakah kita benar-benar yakin dengan wakil Barisan Alternatif yang ada antaranya bersikap biadab dan mencarut di parlimen, menyerang speaker dewan, malas turun padang dan tidak fasih berbahasa kebangsaan sewaktu perbahasan, wakil rakyat hingusan dan saling bertumbukan dan bertamparan antara sesama mereka? Adakah ini wakil pembela bangsa dan negara? Tepuk dada tanyalah hati minda. Tidak guna kita menerima janji-janji sedap sebagai halwa telinga tetapi tidak bermakna apa-apa.

Mahukah kita menggantikan kerajaan yang terlalu banyak berjasa terhadap rakyat hingga landskap Malaysia terbina sedemikian rupa? Perlukah diroboh dan dilelong mercu tanda negara KLCC, KLIA, Putrajaya, dan lain-lain yang merupakan lambang kejayaan setelah terjajah ratusan tahun lamanya? Maka jawapan ada di dalam minda kita sebagai rakyat jelata untuk menilai yang baik dan yang palsu. Kita sepatutnya menjadikan pengajaran kegagalan usaha mereka merampas kuasa pada 16 September sebagai suatu ikhtibar bahawa pembohongan boleh dicipta pada bila-bila masa sahaja.

Sesungguhnya cita-cita dan perjuangan palsu pimpinan “angkat bakul sendiri” seperti penasihat parti alternatif amatlah tidak bersesuaian sebagai pewaris kesinambungan hasil kejayaan negara pada hari ini. Bagaimana perlu memilih pemimpin sebegini sekiranya tidak menetapi ciri-ciri sebenar pemimpin berbilang bangsa di Malaysia, lebih-lebih lagi kegagalan memenuhi tuntutan untuk mendepani cabaran wawasan 2020 negara. Sebagai rakyat terbanyak inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa pemimpin negara yang rakyat kehendaki sebenar-benarnya ialah mereka yang meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri sendiri. Apatah lagi sekiranya mereka yang terdesak untuk merampas kuasa mempunyai kaitan atau amat mudah menjadi alat mengikut “jari telunjuk” pemimpin barat yang pro keganasan dunia sepatutnya tidak ada tempat langsung di hati sanubari rakyat yang bebas, aman merdeka.

Sebagai suara generasi muda diharap kita mampu mempertahankan negara kita daripada berita palsu, penipuan, pembohongan dan tipu daya daripada mana-mana individu yang muncul secara tiba-tiba kononnya diutus sebagai pembela masa hadapan ke arah Malaysia Baru. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti cerita kebolehan Ayah Pin membawa pengikut setianya ke arah kecelaruan minda yang sesat. Apa yang kita mahu ialah pemimpin dan kerajaan yang kukuh serta bertanggungjawab mampu mengatasi cabaran fenomena dunia yang menghimpit tanpa adanya usaha anasir songsang yang sering memesongkan pemikiran rakyat daripada menumpukan usaha ke arah kesejahteraan kita hidup memegang konsep perpaduan sebagai teras kejayaan pada hari ini menuju wawasan 2020.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan ulasan anda

Label

Bermula 19/7/2010

Pengiklanan Sahaja

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP